Skip to content

PENENTU BAIK BURUK PEMIMPIN

Oktober 21, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

1376575_330399393770709_849010909_nDaripada Ibnu Abbas ra. dia berkata, telah datang Uyainah bin Hisn lalu singgah di rumah anak saudaranya Al-Hur bin Qais, salah seorang yang dekat dengan khalifah Umar ra. dan para qurra (penghafal Al-Quran) merupakan anggota majlis mesyuarat Umar ra; baik dari kalangan dewasa atau pemuda, maka Uyainah berkata kepada anak saudaranya, ‘Wahai anak saudaraku, apakah kamu punya kedudukan di hadapan Amir ini? Maka mintalah izin untukku bertemu dengannya’. Lalu dia meminta izin dan Umar memberi izin.

Ketika masuk dia berkata, ‘Berlaku baiklah wahai Ibnu Al-Khattab. Demi Allah, kamu tidak memberi kami bahagian yang banyak, kamu tidak menghukum kami dengan adil.’ Umar ra. marah hingga ingin memukulnya. Al-Hur berkata, ‘Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada NabiNya SAW, ‘Ambillah sikap maaf dan suruhlah kepada kebaikan, serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh’ (Al-A’raf: 199), sesungguhnya orang ini termasuk orang bodoh.’ Demi Allah, Umar tidak bertindak melampaui batas ketika dia membaca ayat itu untuknya, dia berserah sepenuhnya (tunduk) pada kitab Allah SWT.” (Al-Bukhari)

Satu pelajaran dari hadis ini adalah Omar ketika menjadi khalifah memilih Hur bin Qais, seorang soleh sebagai penasihatnya, dia memilih para penghafal Al-Quran menjadi ahli mesyuaratnya, dan dia sentiasa dekat dengan para ulama.

Ini memberi pemahaman kepada kita bahawa yang memperbaiki keadaan seseorang adalah orang dekatnya. Baik atau rosak pemimpin kerana orang dekatnya. Disebut dalam pepatah arab, ‘Sahabatmu adalah orang yang membetulkanmu, bukan yang membenarkan setiap yang kamu lakukan.’ Maka orang yang memegang kepemimpinan di mana pun, hendaklah dia dekat dengan para ulama.

Inilah yang di ajarkan oleh Nabi SAW di dalam setiap hal. Firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bitanah (teman dekat) orang yang di luar kalanganmu (yang tidak soleh) kerana mereka akan menimbulkan kemudaratan bagimu.” (Ali Imran: 118)

Buruknya seorang pemimpin diketahui dari buruknya para penasihatnya. Kita lihat hancurnya kerajaan Bani Ummayyah dan Bani Abasiyah kerana kedua-dua khilafah tersebut mengangkat orang-orang ajam menjadi penasihat-penasihat mereka. Rosaknya banyak pemerintahan Islam, tersebarnya fahaman sesat dan kesyirikan kerana mereka tidak mengangkat penasihat yang soleh dan jujur.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah mengirim surat kepada Thawus bin Kaisan yang isinya, “Berilah aku nasihat”. Thawus membalas dengan satu ayat singkat: “Bila engkau inginkan seluruh urusanmu baik, maka angkatlah pegawai orang-orang yang baik.” Selepas membacanya, khalifah berkata, “Cukuplah ini sebagai peringatan, cukuplah ini sebagai peringatan.”

Betapa pentingnya penasihat dari kalangan orang soleh, kerana dengannya akan wujud manfaat untuk rakyat dan negara. Alangkah kita memerlukan orang seperti Sufyan Al-Tsauri kepada khalifah Harun Al-Rasyid, orang seperti Fudhail bin Iyadh terhadap Abdul Malik bin Marwan. Orang seperti Malik bin Dinar dan ulama tabiin lain yang menasihati pemerintah sehingga mereka meniti jalan yang benar.

 Pada zaman kemuliaan ilmu, kedudukan ulama setingkat dengan khalifah, malah jauh lebih tinggi. Lihat ketika khalifah Sulaiman bin Abdul Malik datang jauh-jauh bertemu Atha bin Abi Rabah. Atha seorang yang berkulit hitam legam, berhidung pesek sehingga digambarkan hidungnya ibarat kacang di wajahnya. Dia dulu hamba milik seorang wanita di Makkah. Ketika tuannya melihat betapa cintanya Atha kepada ilmu, dia bebaskan Atha demi mengharap wajah Allah.

Atha belajar selama 18 tahun di Mekah sehingga dia ditunjuk sebagai ulama pakar tentang manasik haji. Datanglah Khalifah bersama anaknya mengajukan soalan dan semuanya dijawab dengan tuntas oleh Atha dan setiap jawapannya dinisbahkan kepada Nabi SAW.

Seorang dari anak khalifah bertanya kepada bapanya, ‘Bagaimana kita datang meminta fatwa kepada orang ini? Seorang yang tidak peduli kehadiran Khalifah dan tidak memberi penghormatan yang sepatutnya?’ Kata Khalifah, ‘Wahai anak, orang yang kita tunduk di depannya inilah pemilik fatwa di Masjidil Haram. Betapa hinanya kita di depannya, maka belajarlah ilmu agama, kerana dengan ilmu orang rendah menjadi mulia, hamba-hamba melebihi darjat Raja.’

Jadi pada zaman kemuliaan ilmu, ulama tidak mencari umara sebaliknya umaralah yang mencari ulama. Seharusnya orang-orang soleh terus menasihati para pemimpin, terutama di akhir zaman yang banyak kerosakan dan maksiat, nasihat orang soleh sangat diperlukan.

Berkata Fudhail bin Iyadh, “Kalau aku ada satu saja doa yang mustajab, nescaya akan kuberikan kepada Sultan”. Dia ditanya kenapa? Jawabnya, kalau doa itu untuk dirinya, kebaikan untuk dirinya sahaja, tetapi kalau doa itu untuk Sultan, bererti kebaikan kepada seluruh umat.

Indahnya manhaj ahli sunnah wal jamaah dalam bergaul dengan pemimpin. Maslahat yang diinginkan terhadap pemimpin tidak lain tidak bukan adalah untuk maslahat kaum Muslimin itu sendiri.

Disiarkan di akhbar pada Ahad, 13 Oktober 2013

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: