MENYANGKAL GOLONGAN SUFI YANG MENDAKWA NABI MASIH HIDUP DAN HADIR KE DUNIA
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Dalam hadis perpecahan umat, Rasulullah mengkhabarkan bahawa umat Islam akan terpecah kepada 73 golongan, semuanya akan singgah ke neraka kecuali hanya satu yang terselamat dari Neraka dan terus masuk ke Syurga, iaitu golongan yang mengikuti jalan Nabi dan para sahabat.
Ia menjadi petunjuk bahawa tidak semua umat Islam akhir zaman ini berada di atas jalan yang benar belaka, kerana zaman ini telah begitu jauh dari zaman Nubuwwah, dan berbagai-bagai kefahaman serta tokok tambah telah meresapi ajaran Islam yang asal.
Hal ini tidak dapat dicegah, namun menjadi tuntutan ke atas kita mempelajari ilmu Al-Quran dan Hadis agar mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan, seterusnya berpegang teguh dengan kebenaran iaitu pegangan Nabi dan para Sahabat. Itulah satu-satunya jalan lurus yang Allah redhai, jalan orang-orang yang Allah beri nikmat. Itulah jalan Nabi SAW dan para sahabatnya.
Berbicara tentang kumpulan-kumpulan yang mengangkat kedudukan orang-orang soleh melebihi kedudukan yang sepatutnya, bahkan menyeru dan memohon pertolongan dari mereka, dan beribadah di kubur mereka, kita bawakan firman ALLAH SWT,
“Katakanlah (Wahai Muhammad): ‘Panggillah mereka yang kamu anggap (tuhan) selain ALLAH, mereka tidak memiliki kuasa untuk menghilangkan bahaya darimu, dan tidak mampu mengubahnya’. Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka siapa di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah). Mereka mengharap rahmatNya dan takut azabNya. Sesungguhnya azab Tuhanmu itu suatu yang harus ditakuti.” (Al-Israa: 56-57)
Ketika ditanya tentang orang-orang yang meminta syafaat dari Nabi setelah kewafatannya dengan alasan bahawa Nabi SAW hidup di dalam kubur, Syaikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin rahimahullah menjawab,
“Bantahan atas mereka ini mudah, iaitu Nabi SAW telah wafat tanpa syak berdasarkan firman Allah SWT, “Sesungguhnya kamu akan mati, dan sesungguhnya mereka akan mati (juga)” (Al-Zumar: 30). Firman Allah SWT, “Tidaklah Muhammad itu melainkan seorang Rasul. Sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Adakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)?” (Ali Imran: 144)
Para sahabat sepakat bahawa Nabi SAW telah wafat. Mereka memandikan, mengkafani dan menguburkan Baginda. Apakah mungkin para sahabat sepakat untuk menanam Baginda dalam keadaan hidup? Ini tidak mungkin. Dengan demikian, Baginda telah wafat tanpa syak.
Namun di sana ada kehidupan lain iaitu kehidupan Barzakh yang ada bagi para Syuhada’, dan para Nabi tentu lebih utama dalam hal ini. Allah SWT berfirman, “Janganlah kamu mengira orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki” (Ali Imraan: 169)
Kehidupan di sisi Allah bukan seperti kehidupan dunia. “Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikanNya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang tinggal di belakang yang belum menyusul mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak mereka bersedih hati”. (Ali Imran : 170)
Inilah kehidupan alam Barzakh yang ilmunya di sisi Allah. Kita tidak mengetahui bagaimana. Orang yang telah mati tidak perlu kepada udara, air, makanan dan selainnya. Inilah jawapan bagi mereka yang mengatakan Rasul SAW hidup di dalam kubur.
Ya, memang Baginda hidup, tapi bukan seperti kehidupan dunia yang manusia di dalamnya mungkin bekerja, taat, rukuk, sujud dan seterusnya. Ini adalah perkara ghaib tidak dihukumi seperti hukum orang-orang yang hidup”. (Jalasat wa Fatawa)
Ini juga sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Zahabi rahimahullah, “Para Nabi hidup di sisi Tuhan mereka seperti kehidupan para syuhada’ di sisi Tuhan mereka. Kehidupan mereka tidak sama dengan kehidupan orang di dunia dan tidak sama dengan kehidupan manusia nanti di Akhirat. (Tarikh Al-Islam)
Ketika terjadinya fitnah yang cukup besar pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman dan Ali RA, ketika berlakunya pertelingkahan di kalangan para sahabat, para sahabat tidak pergi ke kubur Baginda untuk meminta tolong atau meminta nasihat untuk mencari jalan penyelesaian.
Jelas bahawa para Nabi telah wafat dan tidak berhubung dengan alam dunia, sebaliknya roh Nabi SAW berada di ‘Illiyun di tempat tertinggi, sebagaimana perkataan terakhir Baginda sebelum menghembus nafas terakhir, “Al-Rafiq Al-A’la (bersama teman yang tertinggi di atas)”.
Sebahagian orang salah faham hal ini sehingga menyangka Para Nabi dan Syuhada’ itu hidup seperti hidup di dunia. Mereka menyangka orang mati di dalam kubur mendengar seruan dan panggilan mereka, melihat, dan hadir ke majlis mereka. Ini dakwaan yang tidak didasari petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah bahkan menyalahinya. Ia hanya sangkaan dan dakwaan semata-mata.
Sedangkan ALLAH SWT berfirman, “Dan engkau (Muhammad) tidak mungkin dapat menjadikan orang di dalam kubur dapat mendengar (Fathir:22). “Sungguh kamu tidak dapat menjadikan orang mati dapat mendengar dan tidak pula menjadikan orang yang tuli dapat mendengar panggilan apabila mereka berpaling ke belakang.” (Al-Naml: 80)
HAL GHAIB HANYA DIKETAHUI BERDASARKAN WAHYU
Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam Sahihnya, ketika orang Yahudi datang kepada Nabi SAW dan bertanya tentang roh, Nabi SAW terdiam dan tidak memberikan jawapan. Ini kerana ia adalah hal ghaib, yang hanya diketahui oleh ALLAH. Baginda diam sehinggalah turun wahyu daripada Allah, “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (Surah Al-Isra’: 85)
Syaikh Al-Albani rahimahullah ketika menjelaskan tentang hadis yang menyatakan kehidupan para Nabi di kubur berkata, “Ketahuilah bahawa kehidupan yang ditetapkan oleh hadis bagi para Nabi adalah kehidupan alam Barzakh, bukan kehidupan dunia sedikit pun. Kerana itu, wajib mengimaninya tanpa memberi perumpamaan, atau berusaha menjelaskan bagaimana kaifiatnya dan menyamakannya dengan sesuatu yang diketahui dalam kehidupan dunia.
Inilah sikap orang mukmin iaitu beriman kepada apa yang datang dari hadis tanpa memberi tambahan berupa qias dan pelbagai pemikiran sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian ahli bid’ah yang mendakwa kehidupan Nabi SAW di dalam kubur adalah kehidupan hakiki (seperti alam dunia). Mereka berkata baginda makan, minum dan menyetubuhi isterinya. Padahal itu adalah kehidupan alam Barzakh, tidak diketahui hakikatnya kecuali oleh Allah SWT”. (Al-Sahihah)
Telah sabit bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya hari kamu yang paling utama adalah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu disampaikan kepadaku.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami disampaikan kepadamu padahal engkau telah hancur menjadi tanah?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah mengharamkan atas bumi menghancurkan jasad-jasad para Nabi.” (Sahih, Abu Daud)
Dari hadis ini, dapat kita lihat bagaimana kefahaman para Sahabat bahawa orang yang mati tidak akan mendengar ucapan orang yang masih hidup. Rasulullah SAW tidak mendengar ucapan salam yang diucapkan kepada Baginda, tetapi sebagaimana sabda Nabi di dalam hadis lain yang juga sahih, “Sesungguhnya Allah memiliki para malaikat yang berkeliling di bumi untuk menyampaikan kepadaku salam dari umatku” (Sahih, riwayat Ahmad)
Sekiranya orang mati dapat mendengar perbicaraan di alam dunia, sudah tentu Rasulullah yang paling layak untuk mendengar. Dan sekiranya Rasulullah mendengar perbicaraan di alam dunia, sudah tentu Baginda mendengar secara langsung selawat dan salam yang diucapkan kepada Baginda.
Namun sebaliknya, Baginda menjelaskan bahawa selawat dan salam “disampaikan” kepada Baginda melalui para Malaikat yang berkeliling di bumi. Jelas bahawa Baginda tidak mengetahui secara langsung apa yang berlaku di alam dunia selepas Baginda wafat.
Bahkan Nabi SAW menceritakan tentang umatnya yang akan terhalang dari minum di telaga Baginda di Akhirat kelak, “Benar-benar suatu kaum dari umatku akan ditolak dari telaga sebagaimana unta asing ditolak (dari kerumunan unta)”, maka aku berkata, “Ya Allah, itu adalah umatku.” Maka dikatakan: “Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang mereka ada-adakan selepas kewafatanmu.” (Al-Bukhari & Muslim)
Hadis ini menunjukkan Nabi SAW tidak tahu apa yang berlaku kepada umatnya setelah Baginda wafat. Maka sungguh batil dakwaan sesetengah kumpulan yang mendakwa Nabi SAW hadir ke majlis-majlis mereka lalu mereka pun berdiri menghormati kehadiran Nabi! Ditambah dengan qasidah yang menyeru dan meminta dari Nabi SAW dan orang-orang soleh yang telah wafat.
Ini benar-benar menyalahi petunjuk Nabi SAW dan petunjuk para sahabat RA. Semoga ALLAH memberikan kita taufiq dan keselamatan dalam beragama, dan beramal sesuai dengan petunjuk Nabi SAW dan para sahabatnya, serta meninggalkan yang selainnya.
Artikel ini disiar di akhbar pada Jumaat, 3 Januari 2014
Salamalaikum. Tulisan ni dok tuju kt kumpulan yg berqasidah kt tv alHijraj tu jugak kan. Hmm