Dr. Fathul Bari Mat Jahya
Rata-rata masyarakat Islam sedunia telah dimomokkan, dipermainkan, dan ditipu dengan istilah Wahabi. Sesiapa yang mengajak kepada Al-Quran dan Sunnah mengikut pemahaman para Sahabat Nabi SAW, mengajak kepada akidah mentauhidkan Allah dan menjauhi syirik dan khurafat, mengajak kepada beramal mengikuti petunjuk Sunnah serta meninggalkan amalan bidaah yang telah mendarah daging dalam masyarakat, mereka ini tidak akan terlepas dari digelar wahabi.
Perkataan wahabi itu mereka sandarkan kepada Al-Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab Al-Tamimi rahimahullah. Siapakah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab ini dan apakah sejarah beliau? Ringkasnya, beliau boleh dikatakan sebagai bapa kemerdekaan Saudi di mana hasil kerjasama beliau dengan Su’ud telah berjaya membentuk negara Saudi dengan menjadikan mazhab Hanbali sebagai mazhab utama dalam negara tersebut. Mazhab Hanbali ialah sandaran kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, murid kepada Imam Al-Syafi’i.
Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab banyak menulis dan tulisan-tulisan beliau hampir kesemuanya berkaitan tentang akidah, anti-syirik, anti-sihir, anti-tangkal. Perkara-perkara yang mencacatkan akidah adalah yang paling banyak ditulis oleh beliau. Antara tulisannya yang terkenal dan luas tersebar adalah Kitab Al-Tauhid dan Usul Al-Tsalatsah (Tiga dasar agama) yang ditulis berdasarkan hadis dari Abdullah ibn Mas’ud RA, “Barangsiapa yang redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Nabi, maka layaklah baginya Syurga.” (Riwayat Muslim)
Dari hadis itu beliau mengarang kitab Ushul Al-Tsalatsah yang membahas bagaimana mengenal Allah, mengenal Rasul, dan mengenal Islam. Beliau juga menulis kitab berjudul Kasyfu Al-Syubuhat (Pembongkaran Syubhat-syubhat) yang membongkar kristianisasi dan triniti, tentang hak-hak wanita, dan turut memfokus pada isu-isu dalaman akidah dan seumpamanya. Oleh kerana ini, beliau dimusuhi golongan-golongan anti-tauhid.
MUHAMMAD BIN ABDUL WAHHAB IKON PERPADUAN DI ARAB SAUDI
Beliau memiliki ramai musuh kerana apabila terbentuknya negara Saudi, sudah pasti berlaku banyak pertembungan dan peperangan, termasuk juga peperangan di antara ahli mazhab. Beliau bermazhab Hanbali manakala ada yang lain bermazhab Syafi’i, Hanafi dan Maliki.
Dahulu di empat penjuru Kaabah, umat Islam berpecah kepada empat jamaah solat mengikut mazhab masing-masing. Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab melihat semua jemaah ini perlu disatukan, maka beliau menetapkan mazhab Hanbali sebagai mazhab rasmi negara.
Antara perjuangan utama beliau ialah merobohkan dan meratakan kubur-kubur yang dibina melebihi tinggi asas binaan yang dibenar dalam syariat Islam. Beliau bukan membongkar kubur seperti yang ditohmah oleh golongan yang membenci dakwah dan seruan tauhid. Bahkan apa yang dilakukannya adalah berdasarkan hadis Nabi SAW, di mana Nabi mengatakan tinggi kubur hanya sejengkal dari tanah dan diletakkan pada kepala kubur itu seketul batu sahaja sebagai tanda.
Nabi SAW telah mengutus Ali bin Abi Thalib RA dan Ali bin Abi Thalib pula mengutus Abul Hayyaj Al-Asadi untuk merobohkan mana-mana kubur yang tingginya melebihi sejengkal. Namun pada zaman Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, kubur-kubur dibina dengan tinggi dan dihias, malah disembah dan dijadikan tempat ibadah seperti iktikaf, solat, tawaf, zikir, berdoa dan sebagainya.
Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab yang memahami hadis Nabi itu merobohkan kubur yang tinggi bertujuan membanteras kesyirikan dan upacara sembahan-sembahan selain Allah.
Dakwah dan usaha beliau ini menyebabkan berlaku pertembungan yang serius dengan golongan Sufi, penyembah kubur dan pemuja kubur. Sudah tentu mereka tidak berpuas hati, maka hasilnya mereka menuduh beliau dengan bermacam-macam tohmahan, dikatakan beliau membongkar kubur dan sebagainya. Walhal beliau melaksanakan seperti apa yang diperintahkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis-hadis sahih.
Selain isu akidah, beliau turut menyeru supaya mentaati pemerintah Islam yang sah, kerana itu beliau mempertahankan kerajaan Su’ud. Dakwah ini juga bertepatan dengan hadis-hadis Nabi SAW yang memerintahkan supaya umat Islam bersatu pada dengan mentaati pemimpin Islam. Disebabkan hal ini juga orang menjadi takut. Mereka menghentam dan mengeluarkan kata-kata dusta terhadap Muhammad bin Abdul Wahhab, antaranya disebabkan isu politik, selain dari isu akidah.
WAHABI MUSUH UTAMA SYIAH DAN KAFIR BARAT
Di Malaysia beberapa tahun dahulu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pernah merobohkan kubur di Pulau Besar. Adakah JAIM wahabi kerana merobohkan kubur? Apa yang JAIM buat itu sama sahaja dengan apa yang dibuat oleh Imam Muhammad bin Abdul Wahab. Apabila JAIS dan umat Islam Malaysia memerangi Syiah, adakah mereka ini semua wahabi?
Gerakan Muhammad bin Abdul Wahab, juga kerajaan Saudi yang dikatakan wahabi pada hari ini adalah gerakan yang melawan Syiah habis-habisan. Sebab itu Negara Arab Saudi dikatakan sebagai negara wahabi. Ini hanya momokan musuh dari kalangan kafir Barat dan juga Syiah yang cukup benci kepada Arab Saudi kerana Arab Saudi satu-satunya negara yang menegakkan Al-Quran dan Al-Sunnah serta benar-benar memberi perhatian dalam mempertahankan kesucian Tauhid di atas muka bumi ini.
Tidak ada lagi kubur yang ditinggikan, atau kesyirikan yang dapat dilihat tersebar di Arab Saudi kesan daripada dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab 200 tahun dahulu. Alhamdulillah, pemerintah Arab Saudi cukup prihatin dalam terus memelihara Agama Allah, walau tidak dinafikan di dalam mana-mana pemerintahan pasti ada kekurangan. Namun kekurangan itu masih terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan sumbangan mereka dalam mempertahankan kesucian agama Allah.
Ini menyebabkan musuh Islam cukup benci dengan Arab Saudi dan cuba memburuk-burukkannya. Fikirkanlah, masihkah ada negara Islam mana yang menegakkan Al-Quran dan Sunnah lebih baik dari Arab Saudi? Sudah tentu hal ini sangat dicemburui oleh musuh yang tidak mahu melihat Tauhid ditegakkan. Maka tidak hairanlah negara Arab Saudi dan siapa saja yang mengajak kepada tauhid ini dikatakan wahabi.
Padahal tidak ada satu orang pun yang menamakan dirinya wahabi. Tidak ada pertubuhan atau gerakan yang menggelarkan gerakan mereka sebagai gerakan wahabi. Ia hanya label yang diberikan oleh pihak lain semata-mata bertujuan memburukkan Ahli Sunnah sekaligus menjauhkan umat Islam dari ajaran Islam sebenar.
Bahkan Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah, guru kepada Imam Ibnul Qayyim dan Imam Ibnu Kathir rahimahumullah, adalah tokoh yang paling banyak menulis kritikan terhadap Syiah. Tulisan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berjudul Minhaju Al-Sunnah Al-Nabawiyah adalah rujukan utama yang dipakai sepanjang zaman. Ini adalah kitab yang menjadi rujukan paling kuat untuk menentang Syiah. Bahkan orang yang tidak suka Ibnu Taimiyah pun akan merujuk kitab Ibnu Taimiyah apabila hendak menentang Syiah.
Maka sudah tentu Ibnu Taimiyyah juga dikatakan sebagai tokoh besar Wahabi. Sedangkan Ibnu Taimiyyah yang hidup sekitar tahun 661H – 728H itu telah pun wafat jauh sebelum lahirnya Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab pada tahun 1115H. Bagaimana mungkin dia dikatakan tokoh wahabi??
Maka jelas bahawa siapa saja yang mengkritik Syiah, yang melawan ajaran sesat akan dituduh Wahabi. Ini kerana dakwah tauhid dan menghapuskan Syirik adalah modus operandi yang dilakukan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab ketika melakukan dakwah Tauhid di Saudi dahulu. Beliau popular kerana mempertahankan akidah tauhid, maka sesiapa yang mempertahankan akidah Tauhid dan menghapuskan kesyirikan akan digelar wahabi, merujuk kepada nama beliau.
Sehingga hari ini, kesan dakwahnya terus subur ke seluruh pelusuk dunia walau pelbagai tohmahan telah dilemparkan. Nabi SAW bersabda, “Sentiasa akan ada sekelompok dari kalangan umatku yang akan terzahir membela kebenaran. Tidak memudaratkan mereka orang-orang yang menghinanya sehinggalah datang keputusan Allah (Kiamat) dan mereka masih tetap dalam keadaan seperti itu” (Bukhari & Muslim).
Firman Allah SWT, “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Al-Hajj: 40)
PERSELISIHAN MAZHAB TIADA KAITAN DENGAN WAHABI
Dakwah Muhammad bin Abdul Wahab yang dikatakan ‘pengasas ajaran wahabi’ ini hakikatnya tidak tertumpu pada masalah feqah. Fokus dakwah beliau adalah pada akidah. Adapun masalah fekah, ia hanya khilaf yang berlaku antara mazhab, seperti Maliki, Hanbali, Syafi’i, Hanafi. Keempat-empat imam mazhab tidak menyuruh pengikutnya taksub kepada mereka sehingga menyesatkan orang yang mengikuti mazhab lain. Perselisihan mazhbab ini masalah kecil jika dibandingkan dengan masalah akidah.
Sebagai contoh, imam mazhab selain Imam Al-Syafi’i tidak membaca qunut Subuh, mereka tidak membacanya bukan kerana suka-suka, tapi mereka berhujah dan berdalilkan Al-Quran dan hadis. Para sahabat Nabi SAW juga tidak membacanya. Adakah mereka ini wahabi? Adakah dikatakan solat Imam Ahmad, Imam Malik yang merupakan guru kepada Imam Al-Syafi’i, Imam Abu Hanifah ini tidak sah kerana tidak membaca qunut subuh, atau adakah mereka ini sesat? Sudah tentu tidak.
Oleh itu janganlah kita mudah memberi label apabila menghadapi perselisihan seperti ini. Seperti yang sering saya katakan, perselisihan pasti wujud. Namun bagaimana kita berdepan dengannya dan bagaimana hendak kita luruskan perselisihan tersebut agar tidak membawa kepada perpecahan kerana perpecahan adalah suatu yang dibenci dan dilarang di dalam Syariat.
Satu-satunya cara untuk meluruskan perselisihan dalam agama adalah dengan kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah sejajar pemahaman Salaf Al-Soleh. Seperti firman Allah dalam surah Al-Nisa ayat 59, “Maka sekiranya kamu berselisih dalam suatu urusan, maka hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan RasulNya (yakni Al-Quran dan Al-Sunnah)”.
Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 10 Januari 2014
From → Akidah & Manhaj, Ilmu & Fatwa