Skip to content

MENJANA PERUBAHAN DAN MASA DEPAN ISLAM

Februari 9, 2014

Dr. Fathul Bari Mat Jahya

50_Shiny_Beautiful_Wallpapers_HD__1920_X_1200__www.HQPictures.tk-14.jpg_Shiny_39Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah Imam bagi Salaf. Baginda mendahului kita bersama generasi yang hadir di sisi Baginda iaitu para Sahabah. Ini sepertimana sabda Baginda, “Sebaik-baik generasi adalah generasiku (yakni aku dan para sahabatku), kemudian yang menyusul selepasnya, kemudian yang menyusul selepasnya.” (Bukhari)

Dari sudut zaman, generasi itulah yang dikenali sebagai generasi salaf. Dari sudut kedua, Salaf bermaksud orang yang menuruti jejak orang yang mendahului dari sudut kelebihan, keilmuan dan keimanan. Orang-orang yang mengikuti mereka ini layak dinisbahkan kepada salaf.

Namun pada hari ini, orang yang menggelar diri mereka Salafi cukup banyak. Tidak ada masalah seseorang itu menisbahkan As-Salafi pada dirinya supaya dia ingat untuk mencontohi Salaf Al-Soleh dalam seluruh aspek kehidupan. Tetapi yang menjadi masalah adalah terkadang ada yang menisbahkan diri kepada Salafi tetapi hakikatnya dia bukan salafi (pengikut salaf), bahkan praktik-praktik agamanya menyelisihi Salaf.

Syaikh Salim bin Eid Al-Hilali rahimahullah apabila menterjemahkan maksud Salaf dari sudut zaman, beliau mengertikan Salaf adalah para Sahabah radhiyallahu ‘anhum ajmain. Ini kerana para Sahabah adalah generasi yang dipelihara oleh Allah. Jika mereka melakukan kesilapan, Rasulullah akan membetulkan. Jika Rasulullah tidak menegur, Allah SWT turunkan wahyu untuk membetulkan. Mereka adalah generasi yang terpelihara dari kesalahan dalam memahami.

Maka amat penting untuk kita memupuk semangat cinta para Sahabah radhiyallahu’anhum ajmain, berusaha membongkar ilmu-ilmu mereka untuk kita praktikkan dalam kehidupan hari ini. Mereka yang membelakangi pemahaman para Sahabah adalah golongan yang membenci Salaf, bukan golongan yang mencintai Salaf, kerana para sahabah adalah Salaf yang sebenar. Perkataan Salaf merupakan sandaran kepada sesiapa saja yang berdiri atas manhaj Nabi SAW dan para sahabah.

MANHAJ SALAF ADALAH MASA DEPAN ISLAM

Firman Allah SWT, “Bagi setiap umat di antara kamu, Kami jadikan Syariat dan Manhaj.” (Al-Ma’idah: 48). Manhaj adalah perkataan yang sering kita dengar. Para ulama mentafsirkan Manhaj sebagai, “Satu jalan yang terang lagi jelas”, yakni jalan yang terang lagi jelas untuk beragama. Bukan jalan yang samar dan bukan jalan yang berdiri atas sangkaan.

Dukacitanya, ada segelintir manusia pada hari ini memandang manhaj Salaf yang dibawa oleh generasi mulia ini sebagai manhaj yang lapuk dan usang. Mereka mengatakan manhaj salaf tidak relevan pada zaman ini. Mereka mengatakan zaman sudah maju, lebai-lebai kopiah-kopiah sudah tidak perlu, menutup aurat tidak perlu, sekarang semua orang bebas hendak membuka aurat. Subhanallah. Mereka melihat manhaj salaf mengembalikan manusia ke zaman batu.

Sedangkan manhaj salaf adalah manhaj yang kekal sampai Kiamat. Manhaj salaf adalah manhaj yang paling maju dan paling terkedepan dari apa yang mereka katakan. Jika mereka membicarakan keadaan dan masalah manusia pada hari ini, memikirkan isu semasa, manhaj Salaf lebih ke depan lagi memikirkan keadaan manusia di akhir zaman, memikirkan akidah manusia, Akhirat, Syurga dan Neraka.

Nabi SAW telah menceritakan tentang zaman-zaman yang berlalu, ciri-ciri kepimpinan yang muncul pada masa akan datang dalam hadis dari Huzaifah bin Al-Yaman ra., di mana Baginda SAW bersabda, “Zaman kenabian di sisi kalian berlangsung tempohnya selama yang Allah kehendaki, kemudian Allah menamatkannya bila Dia menghendakinya. Kemudian akan datang kekhalifahan yang membawa manhaj kenabian selama yang Allah kehendaki (yang dimaksudkan adalah para Sahabah yang membawa manhaj Nabi), kemudian Allah menamatkannya bila Allah menghendaki.

Kemudian akan ada zaman kerajaan yang tidak mahu melepaskan pemerintahannya, selama yang Allah kehendaki, kemudian Dia akan menamatkannya bila Dia kehendaki. Kemudian akan ada kerajaan yang pemerintahnya sombong lagi angkuh sepanjang dikehendaki Allah kemudian Allah menamatkannya bila Dia kehendaki. Kemudian akan ada kembali pemerintahan di atas manhaj kenabian”. Kemudian Baginda diam.” (Sahih, Ahmad)

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa para sahabah adalah generasi yang mempraktikkan manhaj Nabi SAW. Tapi zaman itu telah berlalu, para Sahabah telah wafat dan tidak ada seorang pun Sahabat Nabi yang masih hidup. Syeikh Salim bin Eid Al-Hilali apabila mengulas maksud “akan kembali pemerintahan di atas manhaj kenabian” menjelaskan bahawa pemerintahan terakhir yang akan berada di atas muka bumi ini adalah pemerintahan yang bermanhajkan manhaj Salaf. Jadi manhaj salaf adalah manhaj yang paling moden dan kekal. Kita tidak tahu bila akan berlaku Kiamat. Apa yang penting, Nabi SAW telah berkata demikian. Perkataan Nabi adalah perkataan yang paling benar. Ini janji Rasulullah SAW, dan kita telah dikhabarkan tentang tanda-tanda kiamat.

Dalam kitab tulisan Syeikh Dr Yusuf Al-Wabil berjudul Asyratu Al-Sa’ah (Ensiklopedia Tanda-tanda Kiamat) yang merupakan tesis kepada sarjana beliau, antara yang beliau bicarakan adalah peristiwa kedatangan Imam Mahdi dan peristiwa turunnya Nabi Isa alaihissalam.

Imam Mahdi datang dengan membawa pemerintahan yang berprinsip dan bermanhajkan manhaj Salaf. Nabi Isa turun mentadbir bumi selama beberapa tempoh membawa manhaj Salaf. Nabi Isa tidak membawa agama baru, Nabi Isa tidak membawa aliran baru. Sebaliknya Nabi Isa datang dengan ajaran Muhammad SAW.

Ketika Umar ra membaca helaian Taurat, Nabi SAW berkata, “Kalau seandainya Musa itu masih hidup di hadapan kalian, tidak halal baginya kecuali mengikuti aku” (Riwayat Ahmad).

Maka apabila Nabi Isa turun di akhir zaman nanti, Nabi Isa akan membawa kembali manhaj kenabian yakni manhaj Salaf. Ini membuktikan bahawa manhaj Salaf adalah manhaj pertama dan terakhir yang akan berdiri di atas muka bumi ini.

Dalil lain adalah hadis daripada Abdullah Ibn Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi saw bersabda, “Kalian akan memerangi Yahudi, dan kalian akan menewaskan mereka kemudian batu-batu berkata, Wahai Muslim, ini orang Yahudi di belakangku, ke mari dan bunuhlah dia.” (Riwayat Al-Bukhari Muslim)

Dalam hadis ini, dhamir (kata ganti nama) yang digunakan oleh Nabi SAW iaitu “kalian akan memerangi Yahudi” menunjukkan Nabi berinteraksi dengan Sahabah. Namun pada hari ini tidak ada seorang pun sahabat Nabi yang masih hidup untuk berperang dengan Yahudi. Al-Hafidz Ibn Hajar Al-Asqalani apabila mengulas dhamir ‘kalian’ ini berkata, “Yang diertikan adalah mereka yang datang kemudian selepas zaman yang panjang, yang mana mereka ini sama jalan dengan jalan para Sahabah di dalam prinsip dan keimanan mereka.”

WASILAH MANHAJ SALAF DALAM MENJANA PERUBAHAN

Dalam hadis yang masyhur, Nabi SAW bersabda, “Akan datang pada setiap kepala 100 tahun orang yang membawa pembaharuan terhadap urusan agama mereka.” (Sahih, Al-Hakim). Pembaharuan atau perubahan yang dimaksudkan bukanlah mengubah agama, tetapi adalah mengembalikan manusia kepada manhaj salaf.

Ibn Mandzur rahimahullah, pengarang kitab Lisanul Arab mengulas erti “yujaddid” (pembaharuan) dalam hadis menjelaskan bahawa perkataan itu berasal dari “jaddadal wudhu” (memperbaharui wudhu). Apabila kita memperbaharui wudhu, apakah wudhu kita yang kedua berbeza dengan wudhu pertama? Tidak, wudhunya masih sama. Jadi erti orang yang datang melakukan pembaharuan dalam agama bukan membawa agama baru, sebaliknya mengembalikan manusia kepada agama yang asal, yang diajar oleh Nabi dan yang difahami dan diamalkan oleh para Sahabah.

Ada dua cara yang dilakukan oleh Salaf dalam menjana perubahan ini, iaitu Tasfiyah dan Tarbiyah. Inilah dua kaedah yang perlu kita ingat sepanjang zaman. Al-Tasfiyah membawa erti ‘sofa’ yakni suci dan bersih. Salaf menjadikan tasfiyah sebagai wasilah untuk mengembalikan manusia kepada agamanya yang asal, iaitu penyucian, pemurnian Islam dari apa yang berbeza darinya dalam seluruh aspek kehidupan.

Sebagai contoh, di dalam kalimah Tauhid La-ilaha-illallah. Usaha Tasfiyah yang dilakukan adalah menyucikan manusia daripada Tuhan-tuhan yang direka, disembah, diminta pertolongan dan sebagainya. Kita perlu menyucikan manusia dari perkara-perkara yang menyanggahi perintah ALLAH SWT dan perintah RasulNya SAW. Begitu juga dalam ibadah, sejarah, dan seluruhnya.

Sesungguhnya usaha mengembalikan manusia kepada agama sama sekali tidak akan berjaya kecuali jika umat Islam kembali kepada agama yang asal, iaitu Islam yang suci dari tokok tambah, suci dari pemikiran falsafah ahli kalam, bid’ah-bid’ah, kesyirikan, khurafat dan segala-galanya.

Kemudian Tasfiyah hendaklah disusuli dengan Tarbiyah, iaitu pembinaan dan pendidikan yang dilakukan terhadap generasi-generasi Muslim sebagai kesinambungan proses Tasfiyah.

Tarbiyah mesti dilakukan dengan menyampaikan ilmu dan hadir ke majlis ilmu. Allah SWT berfirman tentang Al-Tarbiyah, “Tidak wajar bagi manusia yang ALLAH beri kepadanya Al-Kitab, Al-Hikmah dan Kenabian lalu dia berkata kepada manusia, ‘Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku selain Allah’, tetapi hendaklah dia berkata, ‘Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya. (Ali Imran:79)

Ibn Abbas radhiyallahu’anhuma berkata, perkataan Rabbaniyyin iaitu pendidik rabbani mestilah bercirikan Hukama (tahu hukum hakam), Ulama (berilmu) dan Hulama (bijaksana). Al-Hasan Al-Basri rhm seorang tabi’in terkenal, seorang muhaddis, seorang alim, mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Rabbani adalah orang yang faqih (faham Al-Quran dan Al-Sunnah), Ahli Ibadah dan Ahli Taqwa. Inilah ciri-ciri pentarbiah.

Tidak diragukan bahawa Tasfiyah dan Tarbiyah memerlukan masa yang panjang dan menuntut kesungguhan dan kerjasama semua peringkat umat Islam dengan penuh keikhlasan. Para ulama yang mengetahui hukum hakam dan ilmu yang benar hendaklah mencurahkan perhatian mereka memahamkan masyarakat kepada ajaran Islam yang benar. Firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.” (Muhammad: 7)

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 24 Januari 2014

2014124223306-1

From → Akidah & Manhaj

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: