Skip to content

WASPADA FAHAMAN ANTI HADIS (QURANIYYUN)

Mac 15, 2014

Dr. Fathul Bari Mat Jahya

Sahih Bukhari In English

Isu Kassim Ahmad hangat diperkatakan akhir-akhir ini. Banyak orang mengulas di media arus perdana dan juga media sosial. Ramai juga yang bertanya pendapat saya dalam Twitter, Facebook dan sebagainya. Sebelum mengulas isu Kassim Ahmad, saya ingin berikan secara ringkas takrifan hadis.

Apa itu hadis?

Pengertian hadis seperti yang dijelaskan oleh para ahli ilmu, antaranya Ibnu Hajar rahimahullah, dan ulama-ulama lain sebagai sesuatu yang diriwayatkan daripada Nabi SAW sama ada perkataan Nabi, perbuatan Nabi, perakuan Nabi, ataupun sifat Nabi SAW, sama ada sifat itu merujuk kepada akhlak Nabi atau sesuatu yang Allah ciptakan pada tubuh badan Nabi. Apa saja yang datang melalui perkara tersebut adalah dikategorikan sebagai Nabi SAW.

Adapun tentang pembahagian kelompok-kelompok manusia dalam penerimaan mereka terhadap hadis, bagaimana mereka bermuamalah dengan hadis, manusia terbahagi kepada empat kelompok;

Pertama, Ahli Sunnah wal Jamaah. Ahli Sunnah wal Jamaah adalah mereka yang berpegang dan beramal dengan hadis Nabi SAW. Mereka menerima hadis sebagai sumber agama bersama-sama dengan Al-Quran Al-Karim. Ini berpandukan sabda Nabi SAW, “Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, kalian tidak akan sesat selama mana kalian berpegang teguh dengan keduanya; iaitu Kitabullah dan sunnah NabiNya.” (riwayat Malik, Al-Muwattha)

Demikian juga di dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman, “Sekiranya kamu berselisih dalam apa jua perkara, kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul (yakni Al-Quran dan Al-Sunnah)” (Al-Nisa: 59). Para ulama tafsir, antaranya Ibn Abbas radhiyallahu ‘anhu telah menafsirkan bahawa ‘kembali kepada ALLAH’ dalam ayat ini merujuk kepada Al-Quran, manakala ‘kembali kepada Rasul’ itu merujuk kepada hadis. Ini adalah pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Kelompok kedua, mereka menolak hadis terus, tidak mahu menggunakan hadis. Mereka hanya menggunakan Al-Quran sahaja. Ini kalau dilihat melalui penulisan Kassim Ahmad, berasaskan penulisannya dan umum yang bercakap tentangnya pada hari ini, dapat dilihat bahawa dia membawa ideologi antihadis yakni menolak hadis dan menyeru manusia beramal dengan Al-Quran sahaja.

Antara contoh-contoh pandangan dan pendapat yang dibawa adalah ‘memadai kita dengan Al-Quranul Karim’, ‘Al-Quran sudah cukup manakala hadis Nabi datang dari mulut manusia’, ‘dalam Al-Quran mengatakan bahawa “Kami tidak meninggalkan suatu pun dalam Al-Quran” maknanya Al-Quran telah merangkumi dan menjelaskan segala-galanya’, juga firman Allah “Dia (Muhammad) tidak bercakap sesuatu mengikut hawa nafsunya, melainkan adalah wahyu yang diwahyukan oleh Allah ke atasnya” (Al-Najm: 3-4). Atas asas ini dia mengatakan apa yang dikatakan oleh Nabi adalah wahyu yakni Al-Quran sahaja. Manakala hadis tidak boleh dipakai.

Kelompok ketiga, mereka juga antihadis, tapi dalam masa yang sama mereka mencipta hadis lain. Ini merujuk kepada syiah. Syiah hakikatnya adalah anti-hadis tetapi ramai yang tidak perasan dan kurang sedar hal ini. Masalah syiah adalah lebih besar dari isu Kassim Ahmad walaupun tidak dinafikan kedua-duanya bahaya dan merosakkan Agama Islam. Namun Syiah lebih bahaya dari segi menolak hadis Nabi yang sahih sama ada dari Sahih Bukhari, Muslim dan selainnya, lalu mereka mencipta hadis-hadis yang baru lagi palsu.

Keempat, adalah golongan orang yang mengiktiraf kedudukan Al-Quran dan Sunnah, tetapi tidak beramal dengannya. Mereka mengambil separuh, tinggal separuh, ataupun tidak beramal dengannya langsung walaupun tidak menolak kebenaran Al-Quran dan Hadis sebagaimana golongan anti hadis. Sebaliknya mereka tidak beramal mungkin kerana malas, suka melakukan maksiat, fasiq dan sebagainya. Jadi ini adalah empat kategori manusia secara amnya dalam berurusan dengan hadis Nabi SAW.

SEJARAH QURANIYYUN (ANTIHADIS)

Sejarah orang menolak hadis sebenarnya sudah panjang lebar, maksudnya ia sudah lama berlaku. Ia bukan masalah baru. Saya tidak ingin membahaskan di sini secara panjang lebar. Mungkin ia boleh dibahaskan di pentas lain seperti seminar, yang boleh kita bentangkan kertas kerja mengenai isu ini. Antara yang popular dalam sejarah penolakan hadis antaranya adalah golongan Muktazilah.

Golongan Muktazilah mengambil pendekatan menolak hadis-hadis yang bukan dalam kategori mutawatir. Maksud mutawatir adalah riwayat itu disampaikan oleh satu kelompok yang besar/ramai kepada satu kelompok yang ramai yang mana mustahil dengan jumlah tersebut mereka berpakat untuk berbohong.

Al-Quran sampai kepada kita secara mutawatir. Maka mustahil untuk orang berbohong dalam menyampaikan ayat Al-Quran kepada kita. Maka mereka terima Al-Quran. Sebaliknya, mereka menolak hadis-hadis yang bukan mutawatir khususnya dalam bidang akidah, kerana akidah/ kepercayaan memerlukan keyakinan penuh dan pasti menurut pendirian muktazilah. Jadi muktazilah hanya terima hadis-hadis yang mutawatir sahaja. Adapun hadis-hadis lain mereka tidak mahu terima.

Itu muktazilah adalah sebenarnya ideologi asas kepada anti-hadis. Tetapi kemudian datang pemikiran yang lebih teruk lagi sehingga membentuk satu pemikiran Quraniyyun ini. Terbentuknya ideologi Quraniyun ini sehingga menolak semua hadis dengan hujah-hujah yang disebutkan tadi; Antaranya firman Allah, “Dia (Muhammad) tidak bercakap ikut hawa nafsu, melainkan apa yang disampaikan adalah wahyu yang Allah wahyukan kepadanya”, “Allah tidak tinggalkan sesuatu pun penjelasan dalam Al-Quran” maknanya semua telah dijelaskan.

Kita ingin lontarkan beberapa persoalan kepada golongan antihadis, dan perlu mereka jawab; dari mana mereka mendapat tafsiran terhadap ayat-ayat Al-Quran yang mereka gunakan itu? Itu isunya. Jika hendak dibandingkan tafsiran mereka dengan tafsiran Nabi Muhammad SAW, lebih baik kita mengambil tafsiran Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Allah berikan wahyu kepada Muhammad, dan Baginda sampaikan kepada kita kitab Al-Quran. Jadi siapakah yang paling faham wahyu? Adakah Baginda atau kita?

Kalau dia hendak mengatakan tafsiran dia lebih baik dari tafsiran Muhammad SAW, dia kena buktikan apa kredibiliti dia. Dia tidak terima wahyu sedangkan Nabi Muhammad SAW menerima wahyu, dan Bagindalah yang paling faham tentang wahyu. Maka penjelasan Baginda adalah yang perlu kita terima dan perlu kita dahulukan daripada penjelasan orang lain.

METODOLOGI PERIWAYATAN

Persoalan kedua, mengapa antihadis menerima Al-Quran, dan apa bukti mereka bahawasanya Al-Quran itu benar? Tidak ada antihadis yang boleh membuktikannya melainkan dengan metodologi yang sama yang digunapakai oleh ahli hadis dan ahli tafsir.

Maka jika mereka hendak mempertikaikan kedudukan hadis, mereka perlu mempertikaikan Al-Quran juga. Bagaimana mereka membuktikan bahawa Al-Quran itu benar? Kalau mereka memetik dalil dari ayat al-Quran, apa bukti mereka bahawa Al-Quran itu benar? Lontarkan kepada mereka.

Ini kerana kita membenarkan hadis Nabi kerana metodologi, kaedah dan proses periwayatan yang kita terima. Kita juga membenarkan Al-Quran kerana metodologi periwayatannya yang sama. Kalau Al-Quran diterima kerana metodologi periwayatan, mengapa tidak boleh diterima hadis kerana metodologi periwayatan juga? Mereka sebenarnya menyanggahi pendirian mereka sendiri.

Adapun teori-teori yang mereka timbulkan, adakah teori mereka itu benar? Adakah teori mereka itu boleh didahulukan dan diiktiraf jika dibandingkan dengan metodologi ulama-ulama Islam terdahulu dan jika hendak dibandingkan dengan Nabi SAW sendiri?

Kemudian dia mengatakan kita meletakkan ulama itu seperti kasta paderi, mendewakan ulama seperti para Nabi yang tidak salah dan tidak silap. Beginilah, di kalangan kita sendiri pun ada orang yang kita percaya dan ada orang yang kita tidak percaya. Maka begitu jugalah dalam periwayatan hadis. Ada orang yang boleh dipercayai dalam periwayatan hadis, dan ada orang yang tidak dipercayai dan hadis tidak diambil daripadanya. Semua itu telah ditetapkan kaedah-kaedah di atas landasan ilmu yang teliti dan ketat.

PENDIRIAN TERHADAP KASSIM AHMAD

Isu antihadis ini satu isu yang panjang lebar dan perlu diperbahaskan. Bila bercakap tentang Kassim Ahmad secara khasnya, saya secara peribadi belum pernah berjumpa dan berbincang dengannya. Saya hanya membaca bukunya, kemudian membaca beberapa kenyataannya di dalam blognya dan beberapa isu yang berkisar dengannya yang berlegar di maya. Jakim juga telah mengeluarkan fatwa tentang beliau sendiri secara khususnya.

Setakat ini saya lihat pandangan-pandangan dan tulisan-tulisannya itu cenderung ke arah menolak hadis (fahaman Quraniyyun), di mana dia mengajak orang mengamalkan Al-Quran sahaja dan meninggalkan hadis. Walaupun dia tidak mengatakan dia menolak Nabi secara langsung, tetapi Ahli Sunnah secara prinsipnya melihat apabila sesorang itu menolak hadis, itu bererti dia menolak Muhammad SAW, walaupun dia menafikan secara perkataan bahawa dia menolak Nabi Muhammad SAW.

Saya suka untuk bertemu dan berbincang dengan beliau untuk melihat pandangan beliau secara langsung, walaupun sudah ada dari sudut penilaiannya terhadap hadis dan sebagainya, tetapi siapakah yang telah berdiskusi dan berbicara dengan beliau. Ini kerana kita kena ingat, hatta seseorang itu dikaitkan dengan Syiah, dan kita lihat dia memang pro-Syiah, tetapi untuk menghukum seseorang individu itu adalah Syiah totok, itu sudah tentu memerlukan bukti yang jelas serta ditegakkan hujjah ke atasnya terlebih dahulu.

Maka begitu juga sewajarnya perlu diadakan pertemuan dengan kasim Ahmad supaya kita boleh melihat isu ini dengan lebih jelas dan dekat. Adapun setakat ini melalui pembacaan dan penilaian saya terhadap kenyataan beliau, saya melihat beliau adalah termasuk golongan Quraniyyun/ antihadis. Wallahu a’lam.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 28.02.2014

From → Akidah & Manhaj

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: