Lompat ke isi kandungan

Tahalluf Siyasi Umno dan pas!

Jun 24, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Apa itu al-wala dan apa itu al-bara?

Yang diertikan dengan al-wala; Al Hubbu wan Nushru (cinta dan tolong). Sudah dibahaskan oleh para ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah pengertian al-wala dan kepada siapa kita hendak cinta dan kepada siapa kita harus tolong dan bantu. Sudah semestinya didahulukan kepada golongan yang cenderung kepada Allah SWT dan rasul-Nya SAW. Golongan yang cinta kepada Allah dan rasul adalah orang Islam.

Adapun Al-Bara; Al Bu’du wal Bughdhu (jauhkan diri dan benci). Perintah Allah di dalam Al Quran, kepada Yahudi dan Nasrani kita mesti berbara, yakni berlepas diri dalam isu-isu berkaitan dengan ketakwaan. Itu prinsip Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Realiti Politik Semasa

Dalam realiti politik semasa pada hari ini, perlu diperhari masing-masing bekerjasama di dalam bab apa. Soal demokrasi, soal hukum pecahan parti, soal perpecahan umat islam (tidak mahu bersatu dengan umat Islam tetapi bersatu dengan bukan Islam), kesemua itu merupakan bab-bab dan hukum-hukum yang berbeza perbincangannya. Sekarang ini saya hanya membicarakan juzuk daripada perkara-perkara tersebut, iaitu apabila dibahaskan tentang kerjasama, kerjasama yang bagaimana dan di dalam bab apa.

Sekiranya kerjasama yang wujud adalah dalam bab politik atau perkara yang tidak mensabitkan ketakwaan, prinsip, serta dasar akidah maka hukumnya harus – tiada masalah. Tetapi sekiranya kerjasama yang berlaku menyentuh prinsip dan dasar akidah, bahkan ada cubaan merobohkan akidah Islam atau cubaan mengangkat akidah selain daripada Islam, maka  kerjasama itu adalah kerjasama yang haram.

Ada orang gelojoh dalam mengeluarkan fatwa. Dulu dikeluarkan fatwa memadai menyertai kumpulan MIC dan MCA maka seseorang itu dikategorikan sebagai kufur (kafir). Tetapi pada hari ini apabila golongan mereka menyertai DAP, mereka mula memberikan takwilan. Takwilannya adalah dengan menggunakan istilah tahalluf siyasi.

Kita mendengar ia seolah-olah istilah islami. Tahalluf siyasi maksudnya ialah pembahagian kerusi. Semata-mata untuk mencapai matlamat perjuangan seperti Putrajaya, kemenangan, maka diharuskan berbahagi kerusi. Masalahnya bukan beri sedikit, tetapi beri banyak dan yang memberi itu sendiri menjadi minoriti. Itu sudah jadi lain, bukan tahalluf siyasi.

Tahalluf pada zaman Nabi SAW yang dibuat dengan Yahudi contohnya Piagam Madinah, yang pertama sekali adalah umat Islam bersatu. Sedangkan umat Islam kita berpecah, tidak bersatu. Umat Islam semuanya harus bersatu terlebih dahulu. Itu yang pertama.

Kedua, pada zaman Nabi SAW, Islam dominan di Madinatul Munawwarah.

Kemudian mereka hendak menggunakan contoh Perjanjian Hudaibiyah. Ketika Perjanjian Hudaibiyah dibuat, kedudukan Islam masih lemah. Walaupun lemah tetapi mereka bersatu. Sebab itulah boleh berlaku perjanjian Hudaibiyah di mana perjanjian itu berat sebelah. Kesan atau akibat perjanjian tersebut adalah terbukanya kota Makkah beberapa tahun selepas itu.

Adapun kita, kesan tahalluf apa yang kita dapat? Inilah masalahnya apabila kita tidak faham dan gelojoh mengeluarkan fatwa hingga akhirnya terperangkap dalam fatwa sendiri. Sekarang mereka mengatakan mereka tidak kafir kerana mereka tahalluf siyasi. UMNO pun boleh menggunakan istilah tahalluf siyasi juga jika demikian, contohnya.

Mereka mengatakan UMNO bersekongkol dengan kafir di dalam Barisan Nasional sedangkan mereka asing-asing. Asing-asing apa? Ia ibarat perkataan riba yang cuba digantikan dengan perkataan-perkataan islamik (untuk menghalalkannya) seperti menggunakan istilah bai’ (nampak islamik) sedangkan tidak boleh demikian kerana perkara yang haram tetap haram hukumnya, dan yang halal adalah halal. Sabda Nabi SAW, maksudnya:

“Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang meninggalkan syubhat maka sesungguhnya dia telah menyelamatkan agamanya dan maruahnya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka mendakwa dan menuduh kita bersekongkol dan sebagainya, sebenarnya di dalam Barisan Nasional ini UMNO lebih dominan. Bukanlah kita katakan BN yang terbaik, tetapi alangkah baiknya sekiranya umat Islam bersatu secara keseluruhannya. Apabila bersatu sudah semestinya kita dapat melakukan banyak perubahan. Fikirlah kepada perpaduan, bukan kita menjadi titik pembawa kepada perpecahan.

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :

http://www.youtube.com/watch?v=3dF3qGH8TR0

Tinggalkan Komen

Tinggalkan komen