Lompat ke isi kandungan

Contohi Petunjuk Nabi Dalam Berselawat

Ogos 15, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Bagaimanakah hukum menetapkan selawat secara berjamaah dan nyaring di sela-sela solat tarawih?

Jawapan:

Jika kita kembali kepada situasi atau zaman masyarakat kita dulu, bagaimana boleh muncul hal-hal yang seperti ini, iaitu hal-hal tokok tambah dalam agama. Kita menceritakan realiti semasa yang membawa manusia kepada mempraktikkan sesuatu yang tidak ada nas atau dalil. Contohnya ialah amalan bacaan yasin pada malam Jumaat.

Memang ada sebahagian hadis tentang kelebihan-kelebihan malam Jumaat. Dan kebetulan pula pada masa dulu di sebahagian tempat mereka bercuti pada hari Jumaat. Maka mereka mencari-cari apa yang baik untuk dilakukan pada malam Jumaat. Sebahagian mereka menjadikan hadis-hadis yang lemah sebagai sandaran untuk beramal atas alasan boleh beramal dengan hadis dhaif untuk tujuan fadhail a’mal (kelebihan beramal).

Maksudnya memang ada kelebihan membaca AlQuran, kemudian di sana ada kelebihan menghidupkan Jumaat. Jadi Al Quran ini jika dibaca pada hari yang ada kelebihan tentu lebih bagus. Kebetulan pula hari Jumaat pada waktu itu cuti, dan ada pula hadis lemah tentang surah Yasin, antaranya Yasin jantung Al-Quran. Jadi atas sebab-sebab ini mereka mula mengamalkan membaca yasin pada hari Jumaat, dan dilakukan pula secara berjamaah kerana menganggap amalan berjamaah itu lebih baik. Maka berlakulah amalan ini dan diteruskan sehingga masyarakat pada hari ini menganggapnya sebagai sebahagian daripada agama.

Pada ketika itu, mungkin sumber maklumat mereka kurang, kebolehan menganalisa kurang, kitab pun kurang. Jika dibanding dengan zaman kita pada hari ini, dalam telefon bimbit sahaja sudah terdapat aplikasi kitab-kitab hadis dan sebagainya. Jadi tidak ada alasan untuk kita tidak mengkaji dan menganalisa kesahihan sesuatu maklumat dalam urusan agama. Orang dahulu mungkin ada alasan untuk tidak mengetahui kesalahan-kesalahan amalan seperti itu disebabkan pelbagai kekangan dalam menganalisa maklumat dan ketiadaan akses kepada sumber rujukan yang betul. Namun adakah alasan itu masih relevan, rasional dan logik untuk kita gunakan pada hari ini?

Pada hari ini kita boleh mengakses pelbagai maklumat, mudah berhubung dengan para ahli ilmu, mudah bertanya kepada ustaz-ustaz yang diiktiraf ilmunya, boleh belajar secara online, malah Universiti Islam Madinah menawarkan pengajian secara online di mana cawangannya terletak di Shah Alam, dan pelbagai cara lagi untuk kita mempelajari ilmu.

Sebab itu kita perlu kembali kepada prinsip asal. Firman Allah SWT,

وَلاَتَقْفُ مَالَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلاَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً

Ertinya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawaban.” (surah Al-Israa’, 17: 36)

Maka kita bersangka baik dengan generasi terdahulu, moga-moga Allah SWT mengampuni dan memberi kebaikan kepada mereka, kerana mereka pada ketika itu berada dalam suasana jahil tetapi ia bukan bererti kita pada hari ini perlu meneruskan apa yang mereka lakukan secara membuta tuli tanpa menganalisa dan tanpa mengkaji. Kita tidak boleh memberi alasan lagi sebab sumber maklumat pada hari ini banyak.

Isu selawat

Isu selawat di sela tarawih, selawat merupakan perkataan mulia. Bahkan di dalam Al Quran Allah menyebut secara khusus tentang kelebihan selawat,

إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Ertinya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bershalawatlah untuk Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (surah Al-Ahzab, 33: 56)

Dari Abu Hurairah RA, bahwasanya Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ عَشْرًا

Ertinya: “Siapa yang bershalawat untukku satu kali maka Allah akan bershalawat untuknya sepuluh kali.” (riwayat Imam Muslim)

Jadi kelebihan berselawat itu memang ada. Tetapi ada orang mengambil kelebihan-kelebihan selawat ini dan kemudian dia buat selawat mengikut cara sendiri. Keluar macam-macam jenis selawat seperti selawat syifak, tafriji dan macam-macam lagi yang tidak diajar oleh Nabi SAW.

Berkaitan dengan lafaz selawat, asas kita adalah Al Quran dan As Sunnah dan petunjuk sahabat Nabi. Bagaimana sahabat Nabi mendidik kita cara berselawat. Sahabat Nabi apabila turun firman Allah, mereka datang mencari Nabi dan meminta Nabi mengajarkan bagaimana cara untuk berselawat.

Saya mencadangkan satu buku kecil susunan Ustaz Abdul Hakim Amir Abdat tentang Sifat Shalawat Nabi. Disenaraikan di dalam buku itu seingat saya lapan atau sembilan riwayat yang sahih daripada Nabi SAW tentang cara sebutan selawat. Bererti para sahabat Nabi mereka tidak sekadar mengambil dalil Allah dan para malaikat berselawat, mereka bukan sekadar menerima kelebihan berselawat, tetapi mereka juga menerima kaedah dan cara melafazkan selawat.

Bahkan para sahabat Nabi memilih waktu tertentu yang ditetapkan untuk berselawat oleh Allah dan Rasul. Sebab itu kita katakan, secara umumnya, doa atau selawat ada yang dijadualkan dan ada yang tidak dijadualkan. Ada selawat dan doa yang ditetapkan masanya dan ada juga yang umum, boleh dibaca pada bila-bila masa tanpa penetapan waktu tertentu.

Contohnya, apabila Nabi mengatakan perbanyakkan selawat ke atasnya pada hari Jumaat, tiba-tiba kita menetapkan selawat perlu diperbanyakkan pada hari Isnin. Itu tidak boleh. Apabila Nabi tidak menetapkan jumlah bilangan, tiba-tiba kita menetapkan selawat perlu dibaca 1000 kali, ini juga tidak boleh. Nabi mengatakan perbanyakkan selawat bergantung kepada kemampuan individu.

Maka kaedah berselawat telah diajarkan oleh Nabi dari segi sebutan lafaznya, masa-masa khusus yang ditetapkan oleh Nabi, contohnya di dalam shalat ada selawat, hari Jumaat perbanyakkan selawat, ketika mendengar nama Nabi disebut seperti dalam hadis,

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ علَيَّ

Ertinya: “Terhinalah seorang yang aku (namaku) disebut di sisinya namun dia tidak bershalawat untukku.” (riwayat Tirmidzi)

Juga di dalam hadis lain malaikat mendoakan kecelakaan bagi orang yang mendengar nama Nabi dan tidak berselawat ke atasnya lalu Nabi mengaminkan doa tersebut di atas mimbar.

Begitu juga apabila kita membincangkan tentang selawat di sela solat tarawih yang diamalkan di hampir kesemua masjid dan surau. Persoalannya mudah sahaja. Selawat itu betul, kelebihan selawat betul, tetapi adakah pemilihan lafaz selawat itu betul? Adakah pemilihan tempat atau waktu berselawat itu betul? Penetapan jumlah selawat itu adakah betul? Cara perlaksanaannya iaitu secara berjemaah dan dinyaringkan itu adakah betul? Daripada manakah datang susunan ini?

Penyelesaiannya mudah, bukan kembali kepada saya atau mana-mana ustaz, tetapi kembali kepada asasnya itu Al Quran, As Sunnah, petunjuk para sahabat Nabi dan generasi salaf.

Ada orang mengatakan, takkanlah ustaz yang buat itu tidak tahu, takkanlah ulama yang buat itu tidak tahu? Persoalan-persoalan inilah yang perlu kita jawab secara sopan dan ilmiah. Bagi sesiapa yang mempraktikkan amalan ini sejak zaman berzaman, tanyalah pada diri sendiri, adakah kita melakukan amalan ini kerana mengikuti Nabi atau mengikuti siapa?

Ada orang pula mengatakan kalau tidak laungkan selawat itu, solat tarawih menjadi terlalu kosong dan tidak meriah, sebab sudah menjadi kebiasaan perkara itu dibuat. Allah SWT Maha Adil, Allah telah memberikan citarasa yang pelbagai dalam kehidupan dunia kita. Kopiah pun ada macam-macam, ada warna merah, hijau, biru. Baju pun macam-macam, ada pakai jubah, baju batik, dan pelbagai jenama. Kereta pelbagai jenis, isteri macam-macam rupa. Makanan pun kita dibenarkan mengikut pelbagai citarasa.

Dalam kehidupan dunia, bercitarasalah kita dengan apa jua citarasa. Masalahnya betapa tidak adilnya manusia, mereka memindahkan citarasa ini ke dalam urusan agama. Dalam urusan agama pun mereka hendak mengikut citarasa mereka.

Kita perlu melihat dan mengikut garis panduan apa yang telah diajar didik oleh Nabi SAW. Kita perlu merasakan yang itulah yang paling cemerlang dan terbaik untuk kita contohi dan anuti kerana sememangnya itulah yang terbaik, walaupun kadarnya dan jumlahnya sedikit, walaupun ianya terlalu mudah, walaupun bahasanya mudah, itulah yang kita ikut tanpa perlu menambah.

Sahabat saya Dr. Fadlan Mohd. Othman menyusun buku kecil bertajuk “Amalan Sedikit Pahala Banyak.” Maknanya bukan menjadi syarat dalam beramal ini perlu banyak dan susah baru dapat pahala banyak. Agama bukan seperti itu. Syaratnya ialah apa yang Nabi sebut dan apa yang Nabi buat.

Jadi di dalam buku tersebut, Dr. Fadlan menyusun hadis-hadis Nabi berkenaan amalan yang sedikit tetapi pahalanya banyak. Contohnya zikir “subhanallah wa bihamdihi, subhanallahil Adzeem”, Nabi menyebutnya di dalam hadis sebagai dua kalimah yang sangat ringan tetapi dua kalimah ini berat di timbangan mizan, dicintai dua kalimah ini di sisi Allah SWT.

Ada orang melihat kalimah ini ringkas dan pendek sangat, dia tidak berpuas hati dan merasakan perlu ditambah lagi. Ini masalahnya dengan manusia.

Contoh lain, apabila seseorang pergi berubat dengan ustaz, ustaz itu membaca Al Fatihah sahaja, maka dia tidak berpuas hati kerana ustaz baca pendek sangat. Kerana dia telah tanam dalam pemikirannya bahawa tok bomoh yang jampi selama 2 jam, itulah yang lebih afdhal atau lebih baik. Manusia menilai sesuatu yang baik itu banyak, susah, panjang, semuanya dinilai dengan akal.

Begitu jugalah isu selawat di sela tarawih tadi. Tanggalkan ia dari amalan kita kerana ia bukan dari amalan Nabi SAW dan ia bukan dari amalan para salaf. Kita ini memang penyeru kepada selawat Nabi, kita tidak pernah anti-selawat. Namun kita inginkan selawat yang sesuai dengan lafaz Nabi SAW, selawat yang sesuai dengan masa dan waktu yang ditentukan dan ditetapkan oleh Allah dan Rasul, selawat yang sesuai dengan kaedah perlaksanaan yang ditentukan oleh Allah dan Rasul, dan sesuai dengan kefahaman sahabat Nabi RA. Itulah selawat yang kita inginkan, barulah selawat itu mudah-mudahan diterima oleh Allah SWT.

WallahuA’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Tinggalkan Komen

Tinggalkan komen