Lompat ke isi kandungan

Merdeka: Hargai Pejuang, Pelihara Keamanan

Ogos 31, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Sebelum ini kita pernah berhadapan dengan isu yang hangat diperkatakan iaitu tentang penjajahan, kemerdekaan, komunis dan yang seumpama dengannya. Melihat kepada isu yang dibangkitkan oleh seorang tokoh dalam satu parti politik iaitu tentang isu komunis, isu bagaimana Mat Indera diangkat sebagai wira dan sebagainya, saya tertarik untuk menyentuh isu tersebut mungkin daripada perspektif yang berbeza.

Adapun tentang siapakah komunis, siapakah penjajah, siapakah pejuang kemerdekaan, itu bukan fokus utama saya, walaupun pada masa yang sama saya tertarik dengan ucapan Tun Mahathir sendiri suatu ketika dahulu apabila beliau menuntut supaya sejarah itu disusun semula; bukan disusun dalam ertikata memasukkan fakta-fakta baru tetapi menilai semula siapakah pejuang-penjuang kemerdekaan yang perlu kita ketengahkan dalam rangka memastikan kemerdekaan ini dirasai oleh semua pihak dan semua bangsa.

Asas kemerdekaan

Apabila kita berbicara tentang kemerdekaan dan penjajahan, suka untuk saya bawakan kisah dalam sejarah Islam iaitu bagaimana Nabi SAW memerdekakan Makkah dari jajahan kuffar dan golongan jahiliyah.

Nabi SAW berasal dari Makkah Al Mukarramah, kemudian baginda SAW kembali menyerang Makkah Al Mukarramah. Mengapa dilakukan seperti itu adalah kerana asal erti kemerdekaan di dalam Islam adalah seperti yang disebut oleh para ulama,

من عبادة العباد إلى عبادة الله

Ertinya: “Seruan daripada menyembah manusia kepada menyembah Allah.”

Jadi asal kemerdekaan di dalam Islam merujuk kepada usaha-usaha untuk mengembalikan manusia itu kepada pegangan agamanya yang asal.

Dari perspektif yang lain, kemerdekaan juga dilihat sebagai pembebasan sesuatu tempat atau negara dari sebarang jajahan. Maka dengan itu kita sebagai rakyat Malaysia berusaha membebaskan negara daripada jajahan, dan Alhamdulillah pada hari ini, secara khususnya Islam telah menjadi satu agama rasmi dan dari semasa ke semasa, kita cuba menyampaikan Islam dan sentiasa berusaha untuk memahamkan masyarakat tentang Islam.

Apabila Nabi SAW dibuang dan diusir daripada tanah airnya sendiri, baginda berhijrah ke Madinatul Munawwarah. Baginda membuka penempatan umat Islam yang baru, negara Islam yang sempurna dengan perundangan-perundangan dan sistem-sistemnya.

Kemudian Nabi SAW terus berusaha untuk membantu saudara-saudara dan sahabat-sahabat yang berada di Makkah, untuk membuka Makkatul Mukarramah daripada jajahan golongan kuffar yang secara jelas melakukan kezaliman ke atas Nabi dan para sahabat, bahkan mereka masih melakukan kezaliman-kezaliman ke atas para sahabat yang masih berada di Makkah Al Mukarramah dan tidak turut serta dalam penghijrahan bersama-sama dengan Nabi SAW.

Maka berlakulah satu perjanjian yang sangat terkenal dalam sejarah umat Islam, iaitu perjanjian Hudaibiyah. Jika kita teliti bagaimana berlakunya perjanjian Hudaibiyah, Nabi SAW jelas mendahulukan perdamaian daripada pertumpahan darah.

Jelas dapat dilihat bahawa perjanjian ini merupakan perjanjian yang berat sebelah seolah-olah mendokong pandangan-pandangan dan pendapat-pendapat golongan kuffar melebihi daripada umat Islam itu sendiri. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati (bukan tentangan) daripada para sahabat RA pada mulanya.

Mereka tidak puas hati dengan perjanjian tersebut kerana dilihat berat sebelah tetapi Nabi bersetuju dengan syarat-syarat tersebut. Antara syarat-syarat yang dilihat sangat berat sebelah adalah ditulis bahawa apabila orang Makkah masuk ke Madinah, orang Madinah hendaklah menghantar pulang semula orang itu ke Makkah, tetapi sekiranya orang Madinah datang ke Makkah, orang Makkah berhak menawan dan menahannya. Selain itu, genjatan senjata selama 10 tahun dan pelbagai lagi syarat yang menunjukkan seolah-olah kerugian bagi umat Islam.

Jadi para sahabat yang datang bersama-sama Nabi pada ketika itu untuk melaksanakan ibadat haji dan umrah menunjukkan rasa tidak puas hati mereka melalui tindakan, iaitu apabila Nabi SAW menyeru mereka untuk mencukur kepala (kerana pada ketika itu mereka dalam keadaan ihram) dan menyembelih haiwan korban, Nabi mengulanginya sebanyak 3x tetapi mereka seolah-olah mengabaikan perkataan Nabi itu kerana bersedih.

Nabi merasa kecewa dan masuk ke dalam khemah menemui isteri Nabi Ummu Salamah. Ummu Salamah mencadangkan kepada Nabi agar keluar dan mencukur kepala dan menyembelih haiwan korban, kerana apabila para sahabat melihat perbuatan Nabi nescaya mereka pasti akan mengikutinya.

Lalu Nabi pun keluar dari khemah dan mencukur kepalanya. Menyaksikan hal itu para sahabat pun masing-masing ikut bangun dan mencukur kepala teman-temannya, sehinggakan ketika mencukur itu luka kepala mereka disebabkan kemarahan di atas perjanjian yang berlaku.

Antara sebab lain juga mengapa para sahabat Nabi tidak puas hati terhadap perjanjian tersebut adalah peristiwa Abu Jandal yang terkenal dalam peristiwa ini kerana beliau merupakan anak kepada Suhail ibn ‘Amr yang kafir, yang bertanggungjawab menyusun perjanjian antara golongan kuffar Quraisy dengan Nabi SAW.

Abu Jandal pada ketika itu tidak tahan dengan siksaan-siksaan yang dilakukan oleh golongan kuffar ke atasnya di Makkah Al Mukarramah. Apabila beliau merayu kepada Nabi agar dibawa bersama ke Madinah, bapa beliau menghalangnya dan mengatakan bahawa anaknya termasuk dalam perjanjian itu dan tidak boleh keluar dari Makkah. Dan jika beliau keluar dari Makkah nescaya orang Madinah perlu menghantarnya pulang ke Makkah.

Hal ini menyebabkan para sahabat yang melihat keadaan Abu Jandal berkata kepada Nabi untuk mengasihani Abu Jandal dan tidak menyetujui perjanjian tersebut. Namun Nabi tidak mengizinkan Abu Jandal mengikutinya kerana ingin patuh pada perjanjian tersebut.

Ini adalah perjanjian Hudaibiyah, perjanjian yang jelas berat sebelah. Mengapa Nabi SAW melakukan sedemikian adalah untuk kemaslahatan dan hikmah yang berpanjangan. Dan perkara ini terbukti ketika pembukaan kota Makkah. Sahl ibn Hunaif yang ada pada saat pembukaan kota Makkah berkata,

أيها الناس اتهموا أنفسكم فإنا كنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم الحديبية ولو نرى قتالا لقاتلنا فجاء عمر بن الخطاب فقال يا رسول الله ألسنا على الحق وهم على الباطل فقال بلى فقال أليس قتلانا في الجنة وقتلاهم في النار قال بلى قال فعلام نعطي الدنية في ديننا أنرجع ولما يحكم الله بيننا وبينهم فقال يا بن الخطاب إني رسول الله ولن يضيعني الله أبدا فانطلق عمر إلى أبي بكر فقال له مثل ما قال للنبي صلى الله عليه وسلم فقال إنه رسول الله ولن يضيعه الله أبدا فنزلت سورة الفتح فقرأها رسول الله صلى الله عليه وسلم على عمر إلى آخرها فقال عمر يا رسول الله أو فتح هو قال نعم

Ertinya: “Wahai manusia sekalian, curigailah diri kalian, sesungguhnya kami bersama Rasulullah SAW pada waktu terjadi perjanjian Hudaibiyah dan jika menurut kami adalah berperang maka kami akan berperang. Lalu datanglah Umar bin Al-Khattab dan berkata, “Wahai Rasulullah, bukankah kita berada di atas kebenaran dan mereka berada di atas kebatilan?”, Rasulullah SAW menjawab, “Sudah tentu”. Umar berkata, “Bukankah orang-orang yang terbunuh diantara kita (jika kita memerangi mereka) masuk syurga dan orang-orang yang terbunuh dari mereka masuk neraka?”, Rasulullah SAW menjawab, “Sudah tentu”. Umar berkata, “Jika demikian, mengapa kita bersikap merendah pada agama kita? Apakah kita kembali ke Madinah padahal Allah belum memutuskan perkara antara kita dengan mereka?” Nabi SAW berkata, “Wahai Ibnul Khatthab, sesungguhnya aku adalah utusan Allah, dan Allah tidak akan menyia-nyiakan aku selamanya”. Lalu Umar pergi ke Abu Bakar dan dia berkata kepadanya apa yang telah dikatakannya kepada Nabi SAW, Abu Bakar pun berkata kepadanya, “Sesungguhnya dia adalah utusan Allah dan Allah tidak akan menyia-nyiakannya selamanya”. Lalu turunlah surat Al-Fath dan Rasulullah SAW membacakannya kepada Umar hingga akhir surat, lalu berkata Umar, “Wahai Rasulullah, apa itu adalah Al-Fath (kemenangan kita di Mekah kelak)?”, Nabi SAW menjawab, “Ya”. (riwayat Al-Bukhari)

Apa yang dimaksudkan Sahl ibn Hunaif adalah sekiranya pada ketika perjanjian itu para sahabat dibenarkan untuk menolak pendapat Nabi nescaya mereka akan menolaknya. Beliau menggambarkan bagaimana perasaan para sahabat pada hari Hudaibiyah. Akan tetapi para sahabat tetap taat kepada Nabi SAW dan kesannya atau hikmahnya adalah mereka dapat membuka Kota Makkah akhirnya.

Mengapa saya ceritakan tentang peristiwa perjanjian hudaibiyah adalah kerana hubungkaitnya dengan apa yang berlaku dalam usaha pemerintah-pemerintah kita memerdekakan kita daripada penjajahan British. Perjanjian-perjanjian yang dilihat berat sebelah, seolah-olah lebih menyokong ideologi-ideologi penjajah, tetapi pada hari ini, Alhamdulillah kita melihat hikmahnya; iaitu kejayaan dan kemerdekaan yang kita perolehi dan kita dapat mengurus tadbir negara ini dengan cara yang baik.

Hikmah memerlukan kesabaran yang panjang

Ini adalah hikmah, dan hikmah berkehendak kepada kesabaran yang panjang. Usaha tokoh-tokoh terbilang dalam kerajaan seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan wira negara yang berusaha untuk mengadakan perjanjian damai pada ketika itu, bukan bererti mendokong ideologi mereka, bukan bererti menidakkan hak-hak orang Islam pada ketika itu, tetapi untuk menimbangtara antara maslahah dengan mafsadah, antara hal-hal yang baik dengan hal-hal yang buruk.

Allah SWT berfirman,

وإن جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل على الله إنه هو السميع العليم

Maksudnya: “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (surah Al Anfal, 8: 61)

Islam juga mengiktiraf kaedah dharurat, di mana ada kaedah fiqh yang berbunyi,

أن الضرورات تبيح المحظورات

“Sesungguhnya dharurat membolehkan (menghalalkan) sesuatu yang dilarang.”

مَا لاَ يُدْرَكُ كُلُّهُ لاِ يُتْرَكُ جُلُّهُ

“Sesuatu yang tidak dapat diperoleh semuanya janganlah ditinggalkan keseluruhannya.”

Jadi usaha untuk mendapatkan kemerdekaan walaupun dari sudut lain sebenarnya kita masih lagi dijajah, contohnya sebahagian daripada undang-undang perlembagaan kita, tetapi setidak-tidaknya kita telah mendapat sesuatu, kita memperolehi kebaikan yang kita nikmati kejayaannya sampai ke hari ini. Ini adalah sesuatu yang perlu kita muhasabah.

Hargai sumbangan pejuang kemerdekaan

Jangan semata-mata apabila kita berbicara tentang tokoh atau wira negara, kita lupa tugas-tugas dan tanggungjawab ini. Tidak kira siapa pun yang terlibat dalam usaha meraih kemerdekaan ini, siapa pun yang menyumbang usaha-usaha mereka, Allah SWT yang menilai dengan seadilnya.

Mungkin perlu dikongsikan satu hadis Nabi SAW tentang beberapa kelompok yang mereka ketika di dunia dipuji sebagai wira tetapi di akhirat mereka ini dicela oleh Allah ‘Azza wa Jalla, dicela oleh Rasul SAW, dan seluruh umat Islam pada ketika itu. Kata Nabi SAW menceritakan salah seorang daripada kelompok tersebut, maksudnya:

“Sesungguhnya orang yang pertama kali diadili di hari kiamat adalah orang yang mati syahid. Dia akan dibawa ke hadapan Allah, yang akan menunjukkan nikmat yang telah diberikan padanya (selama di dunia), kemudian ia melihatnya. Kemudian Allah akan bertanya: “Apa yang kamu lakukan dengannya (nikmat itu)?”

Dia akan menjawab, “Aku berperang untuk agama-Mu dan kemudian aku mati sebagai syahid.”
Tetapi Allah akan berkata, “Kamu berbohong. Kamu berperang agar manusia menganggapmu sebagai pemberani, dan telah dikatakan demikian kepadamu.” Kemudian ia diperintahkan untuk dihisab amalannya dan diseret dengan mukanya lalu dilemparkan ke dalam neraka. (riwayat Imam Muslim)

Maka hukum ke atas manusia itu Allah SWT yang akan menentukan di akhirat kelak, bukan di sini untuk kita menghukum. Adapun wira-wira negara kita yang terlibat dalam usaha-usaha memerdekakan negara ini maka perjuangan mereka sebenarnya sesuai dengan apa yang telah Allah SWT dan Nabi SAW sebutkan iaitu sebagai membebaskan negara dari penjajahan kuffar secara khususnya dan membebaskan negara ini daripada sebarang jajahan secara umumnya.

Syukuri nikmat yang dikecapi

Apatah lagi apabila telah ditetapkan pemerintah di negara ini adalah dari kalangan orang Islam yang berbangsa Melayu, di mana orang melayu adalah beragama Islam jadi pemerintahnya juga adalah Muslim, maka ini sebenarnya merupakan satu hikmah yang sangat besar dan perlu disyukuri oleh seluruh umat Islam.

Soal kecacatan, kekurangan, ketidaksempurnaan, kita sebagai orang-orang yang ada pegangan agama, salinglah nasihat menasihati antara satu sama lain. Sampaikanlah teguran dengan cara yang baik, bukan secara semberono, tuduh menuduh, dan fitnah memfitnah.

Walau apa sekalipun yang orang katakan kepada Bukit Kepong, walaupun ada sesetengah orang mengatakan mereka ini mata-mata kepada British dan sebagainya, mereka sama sekali tidak terlibat dalam menjatuhkan, membunuh, ataupun menyerang masyarakat kita iaitu orang dalam negara ini kerana mereka pada ketika itu dalam proses dan dalam usaha untuk mencari perdamaian, di mana tujuan perdamaian itu adalah untuk kemerdekaan.

Ini yang juga disebut di dalam hadis-hadis Nabi SAW, iaitu kita merendahkan diri kita buat seketika untuk mendapatkan satu kemaslahatan yang lebih besar. Perkara ini perlu difahami, dan telah banyak dibahaskan oleh ulama-ulama fiqh. Memadailah saya menyamakan dari satu perspektif kerana asal kemerdekaan di dalam Islam adalah mengembalikan manusia dari menyembah manusia kepada menyembah Allah SWT.

Usaha itu –alhamdulillah- secara berperingkat dilihat telah dimulakan dengan baik dan berterusan, dalam keadaan negara ini –alhamdulillah- adalah Negara Islam dan kita berharap ianya berterusan dan dari semasa ke semasa menjadi lebih baik.

Maka hendaklah kita menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah SWT, dan hamba yang bersyukur kepada manusia yakni bersyukur dalam erti berterima kasih kerana sabda Nabi SAW,

لا يشكر الله من لا يشكر الناس

Maksudnya: “Tidaklah bersyukur kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (riwayat Abu Dawud, dinilai sahih oleh Al-Albani)

Jadi ucapkanlah terima kasih kepada orang-orang yang terlibat dalam memperjuangkan, memelihara dan mempertahankan kemerdekaan negara kita agar kita semua dikategorikan sebagai hamba Allah yang bersyukur.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Tinggalkan Komen

Tinggalkan komen