Kaedah dan hukum berzikir diiringi gendang atau alat muzik
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Soalan: Ada satu budaya di masjid di Melaka, walaupun fatwa negeri Melaka telah keluar tentang larangan alat muzik di dalam masjid, sebahagian masjid masih mengamalkannya secara rutin, antaranya bergendang sambil berzikir. Apa komen ustaz.
Jawapan:
Bismillah,
Asal zikir adalah satu tuntutan. Banyak di dalam Al-Quran mahupun hadis-hadis Nabi SAW yang menuntut kita berzikir memuji Allah SWT. Antaranya,
فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ
“Berzikirlah (mengingati) Allah di waktu berdiri, duduk dan berbaring.” (surah An-Nisa, 4: 103)
Berzikir yakni mengingati Allah SWT. Itu maksud asal perkataan zikir. Cuma yang perlu kita ketahui adalah prinsip tentang zikir. Kita terima pensyariatan tentang zikir, seperti kita terima perintah untuk shalat. Namun perlu kita ketahui apa yang perlu kita baca di dalam shalat. Perlu kita ketahui bagaimana kaedah shalat. Bagaimana cara ruku’, sujud, qiyam, bila waktu kita perlu shalat, perkara yang membatalkan shalat, ini yang dinamakan kaedah bershalat.
Begitu juga dengan zikir. Kita terima pensyariatan zikir dan pada masa sama kita juga perlu terima dan mengkaji kaedah yang Nabi ajar untuk berzikir.
Pertama, dari sudut lafaz bacaannya. Kita perlu mempelajari apa yang Nabi baca ketika berzikir. Kita perlu cari bacaan-bacaan yang Nabi SAW baca. Contohnya,
- Laa-ilaaha-illallaah wahdahu laa syariika lah, lahul mulku wa lahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai-in qadiir.
- Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.
- Subhanallahi wa bihamdihi Subhanallahil ‘Adziim – hadis terakhir di dalam Sahih Bukhari di mana Nabi mengatakan ianya dua kalimah yang ringan di lisan, sangat berat di timbangan mizan, sangat dicintai oleh Allah.
Jadi kita perlu memerhatikan pemilihan lafaz-lafaz zikir yang dipraktikkan oleh Nabi SAW. Seperti mana juga bacaan yang kita baca di dalam shalat. Bolehkah kita baca di dalam shalat ketika ruku’ “Allaahumma inni a’uudzu bika minal khubutsi wal khabaa-its”? Itu doa masuk ke tandas. Bolehkah orang mengatakan “apa salahnya baca doa ini, doa ini maksudnya baik – Ya Allah ya Tuhanku jauhkanlah aku daripada syaitan jantan dan betina.”
Hal berkaitan ibadah bukan soal ertinya baik. Tetapi soalnya adalah Nabi tidak pernah menjadikan bacaan di dalam ruku’ dengan doa tersebut, sebaliknya Nabi membaca doa tersebut sebelum masuk ke tandas. Maka doa itu khusus dibaca ketika hendak masuk ke tandas.
Di dalam ruku’ Nabi membaca “Subhana rabbiyal ‘adziim” dan beberapa lagi bacaan lain yang diriwayatkan Nabi membacanya. Kita tidak boleh mengambil ayat kursiy untuk dibaca dalam ruku’, kita tidak boleh membaca “Rabbana aatinaa fid dunya hasanah” di dalam ruku’ walaupun maksud ayat tersebut baik. Sebaliknya kita kena baca apa yang Nabi baca.
Pemilihan bacaan, susunan bacaan telah ditentukan dan disusun oleh Nabi SAW. Tidak berhak untuk kita mengubahnya. Begitu juga dengan lafaz zikir.
Kemudian, pemilihan masa untuk berzikir. Bila masa kita disarankan untuk berzikir? Contohnya selepas shalat ada lafaz-lafaz yang Nabi baca. Saya cadangkan supaya dibuat salinan dan edaran lafaz-lafaz zikir yang memang dibaca dan dipraktikkan oleh Nabi SAW yang diriwayatkan di dalam hadis-hadis yang sahih.
Apa yang mula-mula Nabi sebut selepas memberikan salam? Yang pertama Nabi sebut setelah memberi salam adalah “Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah”. Nabi sebut Astaghfirullah sahaja tanpa tambahan Al-‘Adziim. Adakah kita tidak boleh menambah Al-‘Adziim? Alangkah baiknya jika kita mampu mencontohi apa yang Nabi sebut.
Kemudian, Nabi membaca “Allaahumma anta-ssalaam wa minka-ssalaam tabaarakta yaa Dzal Jalaali wal Ikraam”. Kemudian Nabi beralih pusing ke belakang melihat makmum. Setelah itu ada lafaz-lafaz yang dibaca oleh Nabi SAW seperti yang boleh kita rujuk di dalam hadis-hadis sahih.
Cubalah bersungguh-sungguh untuk memastikan susunan lafaz zikir kita itu sama seperti susunan lafaz zikir Nabi SAW, sebab apa yang Nabi SAW praktikkan itulah yang terbaik. Tiada siapa boleh katakan bahawa susunan zikir yang lain lebih baik daripada susunan Nabi SAW.
Zikir Nabi adalah yang terbaik walaupun ianya ringkas. Kalau kembali kepada sahabat Nabi SAW, cara mereka jampi, mereka membacakan surah Al-Fatihah sahaja kemudian seolah-olah meludah ke dalam air dan beri minum. Lihat dalam hadis Abu Sa’id Al-Khudri di dalam Sahih Al-Bukhari. Kalau kita melihat jampi sependek itu mungkin ada yang akan mengatakan, “Takkan baca Al-Fatihah sahaja?” Memang begitulah bacaannya. Memang itu cara jampi yang dipraktikkan oleh sahabat Nabi. Tidak ada masalah dengan bacaan yang ringkas.
Setelah kita tentukan waktu-waktu untuk berzikir, kita juga perlu melihat bagaimana cara untuk berzikir. Ada orang cara dia berzikir dengan melompat. Mula-mula dia berdiri, kemudian dia duduk, kemudian dia mengiring. Dia berdalilkan firman Allah di dalam Al-Quran yang dinyatakan di atas tadi,
فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ
“Berzikirlah (mengingati) Allah di waktu berdiri, duduk dan berbaring (mengiring).” (surah An-Nisa, 4: 103)
Cara berzikir seperti ini adalah tidak benar. Mereka memahami ayat Al-Quran itu bukan melalui petunjuk sunnah.
Sebab itu juga Allah SWT mengkritik orang yang menjerit-jerit berzikir memuji-Nya. Allah SWT mengatakan bahawa Dia tidak pekak, Dia Maha Mendengar walaupun ianya datang dari hati. Sebab itu takrifan iman itu dikaitkan dengan perkataan dan amal. Yang dimaksudkan dengan perkataan adalah perkataan lisan dan juga hati. Yang dimaksudkan dengan amal pula adalah amal anggota badan dan juga hati.
Berkata sahabat Nabi Ibn Abbas RA, Nabi SAW tidak mengangkat suara ketika berzikir melainkan untuk tujuan mengajar. Imam Asy-Syafi’i pula menjelaskan bahawa “aku membenci orang yang mengangkat suara ketika berzikir memuji Allah kecuali apa yang dia sampaikan itu (mengangkat suara) adalah bertujuan untuk mengajar.”
Kalau kita bertujuan untuk mengajar, mungkin dalam beberapa bulan kita berzikir dengan suara kuat dan selepas itu apabila orang sudah mengingati cara berzikir, kita berzikirlah dengan perlahan, beradab dan sopan.
Apatah lagi apabila dikaitkan dengan gendang dan peralatan-peralatan muzik. Nabi tidak pernah ada kumpulan pemuzik. Baginda tidak pernah menyuruh mana-mana sahabatnya memukul gendang atau memainkan satu lagu untuknya. Cuma pada zaman itu, Nabi memberikan keringanan kepada kanak-kanak perempuan pada hari-hari perayaan, hari perkahwinan untuk mereka sesame mereka bermain alat muzik. Datang Abu Bakar Ash-Shiddiq RA pada suatu hari perayaan tersebut dan terdengar bunyi yang dimainkan oleh kanak-kanak perempuan lantas beliau berkata, “Ini adalah bunyi seruling dari seruling-seruling syaithan!”
Nabi tidak menafikan perkataan Abu Bakar. Nabi tidak menafikan bahawa bunyi-bunyi itu adalah seruling daripada seruling-seruling syaithan. Cuma kata Nabi kepada Abu Bakar, “Biarkanlah mereka kerana ini adalah hari mereka bergembira (hari perayaan).”
Tetapi Nabi tidak mengajak Abu Bakar untuk bersama-sama bermain alat muzik. Tidak, Nabi tidak mengajak dan tidak pernah bermain alat muzik. Nabi cuma memberi laluan kepada kanak-kanak perempuan yang masih kecil untuk bergembira pada hari perayaan mereka.
Apatah lagi jika kita hendak bercakap tentang hukum bermain kompang, bergendang, bermuzik sambil kita berzikir di dalam masjid. Ini bukan satu hal yang baik. Bahkan masjid adalah tempat untuk membaca Al-Quran, shalat, dan berzikir memuji Allah. Bukan tempat untuk kita menyanyi dan menjerit. Malah kaedah untuk membaca Al-Quran itu pun perlu mengikuti kaedah yang Islam ajar. Bukan menjerit, bukan terpekik, bukan melolong. Tetapi hendaklah membaca dengan adab dan sopan.
Wallaahua’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:
http://abuaqifstudio.blogspot.com/2013/01/ufb-guna-alat-muzik-iringi-zikir.html#post-title
assalamu’alaikum
ustadz apakah kita boleh berdoa selepas sholat?ataukah hanya berdzikir?
syukron
Wa’alaikum salam warahmatullahi wabarakaatuh
Disunnahkan berdoa setelah tasyahud akhir sebelum memberi salam, juga disunnahkan memperbanyakkan doa di dalam sujud. Maka berdoalah pada waktu yang disunnahkan tersebut.
Sesudah memberi salam disunnahkan untuk berdzikir seperti zikir yang diajarkan oleh Nabi SAW. Namun jika ingin berdoa secara umum tidaklah menjadi kesalahan, cuma jika hendak disandarkan kepada sunnah (yakni berdoa setelah salam secara khusus) memerlukan kepada dalil dari petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah. Wallaahua’lam.
berdoa didalam sujud itu apakah disujud terakhir ataukah di semua sujud?dan disaat sujud,berdoanya dilafazkan atau di dalam hati saja?dan satu lagi apakah saat kita sholat sunnah dianjurkan untuk berdoa setelah tasyahud dan disaat sujud?
sebelumnya mohon maaf pertanyaan saya banyak
syukron
berdoa didalam sujud itu apakah disujud terakhir ataukah di semua sujud?dan disaat sujud,berdoanya dilafazkan atau di dalam hati saja?dan satu lagi apakah saat kita sholat sunnah dianjurkan untuk berdoa setelah tasyahud dan disaat sujud?
sebelumnya mohon maaf pertanyaan saya banyak
syukron
Hadis anjuran untuk memperbanyak doa di dalam sujud adalah umum, tidak dikhususkan kepada sujud terakhir sahaja. Syaikh Al-Utsaimin mengatakan memperlama sujud terakhir untuk tujuan doa bukan termasuk di dalam sunnah. Sebagaimana dijelaskan dalam hadis Baro’ bin ‘Azib, dia berkata,
كَانَ رُكُوعُ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – وَسُجُودُهُ وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ وَبَيْنَ السَّجْدَتَيْنِ قَرِيبًا مِنَ السَّوَاءِ
“Ruku’, sujud, bangkit dari ruku’ (i’tidal), dan duduk antara dua sujud yang dilakukan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, semuanya hampir sama (lama dan thuma’ninahnya).” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Bacaan zikir dan doa di dalam shalat perlu dilafazkan dengan lidah. Tidak boleh dibaca dalam hati. Adapun doa; afdalnya dibaca doa yang telah sabit daripada Rasulullah sallalahu alaihi wasallam. Jika tidak, boleh sahaja membaca doa sendiri (untuk hajat yang khusus) dalam Bahasa Arab. Jika tidak mampu berbahasa Arab, boleh dibaca dalam apa jua bahasa.
Ini berdasarkan kaedah umum Agama yang bersifat memudahkan sebagaimana sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam:
“يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا”
(Mudahkan dan jangan menyusahkan) (Muslim)
Dalam masa yang sama tidak ada dalil yang melarang daripada membaca doa dalam bahasa asing ketika solat.
Wallaahu a’lam
Masyaallah, huraian yg sgt bermanfaat.
Jazakallah ustaz.
fahaman wahhabi ?