Agar ilmu mudah diingati dan tidak dilupakan
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Soalan: Apakah cara-cara untuk kita pastikan agar ilmu yang kita belajar mudah diingati dan tidak dilupakan?
Jawapan:
Dua poin paling penting agar ilmu yang dipelajari mudah diingati dan tidak dilupakan adalah ikhlas di dalam menuntut ilmu dan kemudian beramal dengan ilmu tersebut.
Cuma saya teringat perkataan Abdullah bin Al-Mubarak, seorang tabi’ut tabi’in yang juga merupakan ulama hadis yang sangat terkenal, dia memberikan kepada kita enam poin di dalam kita menuntut ilmu.
Pertama, husnu al-niyyah (niat yang ikhlas). Kedua, husnu al-fahm (kefahaman yang baik). Ketiga, al-hifzhu (hafalan). Keempat, al-kitaabatu (penulisan). Kelima, al-‘amalu (beramal). Keenam, an-nasyru (sebarkan).
Keenam-enam poin ini membantu untuk kita menghadamkan ilmu. Dulu semasa saya belajar, di antara cara untuk memudahkan kami mengingati dalil dan menghafal hadis adalah dengan mengamalkannya.
Contohnya, hadis berkenaan cara berwudhu. Sebelum berwudhu kami akan membaca dan mengingati dulu hadis tersebut, kemudian baru kami berwudhu. Dengan cara itu (beramal dengan ilmu yang dipelajari) kita akan lebih mudah mengingati.
Setelah itu, sampaikan atau ceritakan kepada orang. Apabila kita mengajar orang, ilmu itu akan menjadi lebih mantap.
Ilmu juga perlu diikat dengan kita menulisnya. Kata Imam Asy-Syafi’I rahimahullah,
الْعِلْمُ صَيْدٌ وَالْكِتَابَةُ قَيْدُهُ
Ilmu adalah buruan dan tulisan adalah ikatannya,
قَيِّدْ صُيُوْدَكَ بِالْحِبَالِ الْوَاثِقَهْ
Ikatlah buruanmu dengan tali yang kuat,
فَمِنَ الْحَمَاقَةِ أَنْ تَصِيْدَ غَزَالَةً
Termasuk kebodohan kalau kamu memburu kijang,
وَتَتْرُكَهَا بَيْنَ الْخَلاَئِقِ طَالِقَهْ
Setelah itu kamu tinggalkannya terlepas begitu sahaja.
Jadi saya kira jika kita mengikuti enam kaedah yang disebutkan itu pun sudah memadai; ikhlas, faham, hafal, tulis, amal, dan kemudian sebarkan.
Wallaahua’lam.
Alhamdulillah, perkongsian yang menarik… Mohon share ya ustaz
Setuju. Terutama kepada generasi muda di sekolah2, kolej dan universiti kena didedahkan apa itu syiah dan siapa mereka….