Skip to content

Tips Menuntut Ilmu dari Ust Fathul Bari

Mei 21, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Panduan Memilih Kitab dan Guru

Jika kita teliti buku-buku dan kitab-kitab penulisan ahli ilmu serta ulama ahli sunnah wal jamaah, mereka membahaskan satu topik yang sangat penting iaitu prinsip-prinsip di dalam kita memilih sumber agama dan berhujah dengan sumber agama. Atau di dalam bahasa Arab, disebut sebagai manhaj talaqqi wa istidlal.

Memilih sumber agama

Di dalam menuntut ilmu, kita perlu berpegang dengan prinsip-prinsip ini. Ianya terdiri 2 perkara, yang pertama memilih sumber agama. Apakah sumber agama kita? Asas sumber agama adalah rujukan. Rujukan kita yang pertama sekali adalah Al-Quran dan hadis. Apabila kita hendak beragama kita tidak boleh lari dan memisahkan diri daripada kita mengembalikan sesuatu kepada Al-Qur’an dan Al Hadis. Seperti firman Allah yang bermaksud;

“Apabila kamu berselisih di dalam sesutau perkara, maka kembalilah kamu kepada Allah dan kembalilah kamu merujuk kepada Rasulullah S.A.W” (surah an-Nisa’, ayat 59)

Sabda Nabi S.A.W, maksudnya;

“Aku telah meninggalkan kepada kamu dua perkara selama mana kamu berpegang dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya kitab Allah dan sunnahku.”(riwayat Imam Muslim, no. 2137)

Kedua, yang dibicarakan dalam sumber-sumber rujukan ialah kitab. Adabeberapa situasi yang perlu diperhatikan, mereka yang membeli dan mengkaji melalui kitab itu tidak kenal siapa pengarang kitab, tidak kenal tempat pencetakan kitab dan tidak tahu kitab apa yang diperlukan semasa belajar.

Mengenal pengarang

Pertama sekali tentang pengarang kitab. Kita perlu kenal pengarang kitab. Pada hari ini orang memilih kitab yang  kita lihat tajuk menarik dan kulitnya cantik tetapi tidak memilih siapakah pengarang kitab tersebut. Kita perlu berhati-hati kerana pada hari ini ramai golongan yang menulis seperti Syiah, golongan-golongan yang benci kepada Islam serta golongan-golongan yang membawa akidah-akidah yang bercanggah dengan Islam. Jika kita tidak mengenali pengarangnya mana mungkin kita dapat menyelamatkan diri daripada dipengaruhi oleh minda-minda mereka.

Sahabat yang mulia bernama Jabir bin Abdillah r.a. menceritakan bahawa Umar ibn Khattab r.a. datang kepada Nabi s.a.w dengan membawa sebuah kitab yang diperolehnya dari sebagian ahlul kitab. Nabi s.a.w pun membacanya lalu beliau marah lantas bersabda:

“Apakah engkau termasuk orang yang bingung, wahai Ibnul Khattab? Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh aku telah datang kepada kalian dengan membawa agama yang putih bersih. Janganlah kalian menanyakan sesuatu kepada mereka (ahlul kitab), sehingga mereka mengabarkan al-haq (kebenaran) kepada kalian namun kalian mendustakan al-haq tersebut. 

Atau mereka mengabarkan satu kebatilan lalu kalian membenarkan kebatilan tersebut. Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya Musa a.s. masih hidup nescaya tidaklah melapangkannya kecuali dengan mengikuti aku.”

(riwayat Al-Imam Ahmad, 3/387. Dihasankan oleh Syaikh al-Albani r.a. Zhilalul Jannah fi Takhrij As-Sunnah dan Irwa`ul Ghalil no. 1589)

Ini menunjukkan mengenal pasti pengarang adalah suatu hal yang kritikal penting.

Mengenal penerbit

Kedua, mengenal pencetakan/ penerbit kitab. Kita perlu ingat bahawa ada kilang-kilang dan penerbit yang mencetak kitab semata-mata mahu mengaut keuntunga, tidak ilmiah dan tidak menjaga keaslian kitab tersebut. Mereka membuang dan menambah sesuatu fakta tanpa mendapatkan keizinan pengarang. Jika di Timur Tengah, para ulama menyenaraikan pusat-pusat pencetakan serta kilang-kilang pencetakan yang benar-benar menjaga kualiti pencetakan. Bukan kualiti daripada sudut helaian kertas ataupun kulitnya semata-mata, tetapi menjaga kualiti dan keaslian isinya. Jika dinukilkan, ianya akan dinukilkan dengan penuh amanah. Jika mempunyai hadis ia akan dinyatakan sumber rujukannya, menyatakan nota kakinya. Begitujuga jika menukil perkataan ulama, ia akan dinyatakan sumber rujukan dan sebagainya.

Tahapan dalam menuntut ilmu

Kemudian permasalahan yang ke tiga tentang pemilihan ilmu apa yang hendak kita pelajari/ pemilihan kitab. Contohnya penuntut ilmu mendengar kuliah tafsir lalu membeli kitab tafsir, begitu juga jika dia mendengar kuliah tentang aqidah lalu dia membeli kitab tentang aqidah sesuka hatinya. Ini bukanlah satu cara yang benar untuk menuntut ilmu.

Cara yang betul untuk menuntut ilmu ialah dengan mencari kitab asas tentang aqidah contohnya saya cadangankan antara kitab yang bagus untuk kita jadikan rujukan. Bagi penuntut ilmu yang ingin menjadi muslim sejati, ia perlu faham terlebih dahulu aqidah.

Antara kitab akidah yang bagus di dalam bahasa Melayu iaitu;

  1. Syarah Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah karangan Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas terbitan Pustaka Imam Asy-Syafi’i. Kitab ini boleh dikatakan menyeluruh menceritakan tentang prinsip-prinsip penting dalam aqidah. Jadi kita mulakan dengan kitab-kitab seperti ini kerana ianya ringkas sebelum kita hendak mempelajari  kitab-kitab seperti;
    1. Lum’atul I’tiqad oleh Ibnu Qudamah al-Maqdisi
    2. Usul Sunnah oleh Imam Ahmad bin Hanbal
    3. Syarhu Sunnah oleh Imam Al-Babahari. Ini adalah ulama yang hidup 1000 tahun dahulu.

Pada masa yang sama juga sumber dalam kita mengambil ilmu adalah ulama yakni berguru dengan ulama. Saya tidak menyatakan bahawa mengambil ilmu di dalam internet adalah salah, tetapi jika kita sudah boleh menganalisa, mengenalpasti sumber rujukannya, siapa penulisnya, pendapatnya daripada siapa, kesahihan status hadisnya dan tidak disebarkan sesuka hati, maka kita boleh mengambil ilmu daripadanya.

Mengenal Ulama’

Daripada sudut ulama pula kita perlu kenal siapa ulama. Masyarakat sekarang asyik mencanang seperti ‘ulama itu pewaris sekalian para Nabi’. Namun masalah yang berlaku ialah mereka membaca hadis ini tidak habis. Nabi menjelaskan kepada kita tentang ciri-ciri ulama kata Nabi S.A.W, maksudnya;

“Ulama adalah pewaris sekalian para Nabi dan para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham sebaliknya para Nabi mewariskan ilmu” (riwayat Imam Tirmidzi)

Jadi jika kita ingin tahu orang itu adalah ulama ataupun tidak, maka pertama sekali kita perlu pastikan ilmu yang dibawanya serupa dengan apa yang Nabi bawa. Jika apa yang dibawa bercanggah dengan apa yang Nabi S.A.W bawa, maka dia bukanlah ulama.

Adadakwaan-dakwaan yang tidak benar untuk mereka menjadi ulama seperti mereka berkata aku menyimpan janggut Nabi, aku menyimpan pedang Nabi, aku menyimpan tasbih Nabi (walhal Nabi bertasbih menggunakan jarinya sendiri). Apabila kita bercakap tentang ulama, kayu ukurnya adalah ilmunya, analisa yang dilakukannya, kefahamannya tentang Al-Qur’an dan As-Sunnah, itulah nilaian ulama.

Pada hari ini lebih ramai muaz (motivator) daripada ulama. Muaz ini merujuk kepada perkataan mau-izah. Maksud mau-izah ini ialah tukang memberi nasihat, memberi semangat dan memberi motivasi. Adapun ulama semakin berkurang, ini adalah kata Abdullah Ibn Masud iaitu sahabat Nabi 1400 tahun dahulu. Akan datang kata beliau di zaman orang pandai bercakap adalah ramai. Orang yang hendak pergi kuliahnya kerana hendak mendengar kutukannya, orang yang hendak pergi kuliahnya kerana dia seorang yang lawak. Kayu ukur dan nilaiannya adalah jenaka.

Ini persis disebutkan oleh Nabi yang bermaksud;

Sesungguhnya kalian hidup di zaman yang ulamanya banyak dan penceramahnya sedikit, sedikit yang minta-minta dan banyak yang memberi, beramal pada waktu itu lebih baik dari berilmu. Dan akan datang suatu zaman yang ulamanya sedikit dan penceramahnya banyak, peminta-minta banyak dan yang memberi sedikit, berilmu pada waktu itu lebih baik dari beramal”. (riwayat Imam At Tabrani dalam Mu’jam Kabir, dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani)

Kisah Syaikh Abdul Muhsin Abbad al-Badr hafidzahullah

Sedangkan ulama Islam yang sebenar, jika kita lihat di Timur Tengah iaitu guru kami Al Syeikh Abdul Muhsin Al-Badr usianya sudah tua hampir 80-an, sekarang sudah duduk di atas kerusi roda. Beliau mengajar dengan suara perlahan. Jika di sini diajar seperti itu, kita yang berada malam ini dalam keadaan yang sangat tenang. Tetapi kuliahnya bermula selepas Maghrib, namun selepas Zohor sebelum Asar orang sudah atur rehal dan kitab-kitab di depan kerusi sampai ke belakang. Jangancubamengubah papan rehal yang telah diletakkan kitab kerana jika diubah akan menyebabkan mereka bergaduh. Ini lambang kecintaan kepada ilmu.

Inilah nilaian untuk kita lebih mengenali ulama supaya kita boleh semak dan kaji daripada sumber-sumber yang sahih. Hal ini seperti yang difatwakan oleh Syeikh Soleh Fauzan al Fauzan, ulama besar (kibar ulama) seorang ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi. Beliau mengeluarkan fatwa tentang soalan orang di tempat yang ketiadaan ulama, kurangnya ulama dan banyaknya ‘ular di dalam semak’. Jadi orang bertanya kepadanya, “jika kami tidak pergi menuntut ilmu bagaimana?”

Beliau menjawab, “menuntut ilmu kita boleh belajar melalui youtube dan internet, yang penting kita perlu kenal daripada siapa kita mengambil agama”.

Ini digambarkan oleh Imam Abdullah bin Al Mubarak rahimahullah (wafat 181H): “Sanad (susur galur periwayatan) itu termasuk dari agama, kalau seandainya tidak ada sanad, maka orang akan berkata sekehendaknya apa yang ia inginkan” (Syarah Sahih Muslim, an-Nawawi 1/87)

Dalam perkataan yang lain Imam Muhammad Ibnu Sirin berkata: “Sesungguhnya ilmu itu agama, maka lihatlah dari siapa kamu mengambil agamamu.” (Muqaddimah Sahih Muslim)

Pemahaman yang benar

Apabila kita sudah mempunyai sumber-sumber ini semua, kita menghadapi fasa yang kedua iaitu bagaimana cara kita hendak faham. Pada hari ini kita perlu ingat bahawa berapa ramai orang yang membaca ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi S.A.W di dalam berdakwah, ketika mendekati masyarakat. Tidak semestinya orang yang membaca Al-Qur’an dan hadis, pengertian dan tafsirannya juga pasti benar.

Contoh yang paling mudah ialah kes Cikgu Kahar  yang mengaku Rasul Melayu. Dia menggunakan dalil Al-Qur’an denga melantik dirinya menjadi rasul. Dia menggunakan ayat surah Yasin yang menyebut, “sesungguhnya engkau rasul yang diutuskan” (surah Yaa Sin, ayat no. 4). Dia menyatakan rasul itu adalah dia sendiri. Sumbernya dan perkataannya benar tetapi pemahamannya salah. Oleh kerana itu kita perlu mempunyai metodologi bagaiman cara untuk kita memahami sesuatu nas.

Cara untuk kita memahami al-Quran dan hadis adalah dengan merujuk kepada kefahaman sahabat Nabi r.a. Mereka lebih faham tentang pengertian maksud Al-Qur’an dan As-Sunnah kerana mereka berada di sekeliling Nabi S.A.W ketika wahyu diturunkan. Mereka tahu segala-galanya tentang mengapa wahyu itu diturunkan. Kefahaman mereka yang kita perlukan.

Mengikuti ulama Ahlus Sunnah

Kedua, iaitu kita mengikuti ulama-ulama ahlus sunnah wal jamaah. Ulama Ahlus Sunnah yang pasti benar aqidahnya dan kepercayaannya. Jika mereka Syiah, maka wasiat Imam Syafi’I wajar dilihat;

“Saya belum pernah melihat seseorang yang lebih mudah bersaksi dengan kepalsuan daripada Rafidhah”. (lihat: Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafi’I, Dr. Muhammad bin A.W al-Aqil)

Kita perlu mengambil kefahaman agama dengan ahli sunnah wal jamaah bermula dengan susunan para sahabat Nabi r.a. Ini adalah ringkasan untuk memulakan kaedah hendak belajar di dalam keadaan sukar untuk mencari guru dan ulama-ulama khususnya di tanah air kita pada hari ini.

http://www.youtube.com/watch?v=aczaKSLKihA

3 Komen
  1. Shah Rizal permalink

    Assalamualaikum.. ada pembetulan.. ayat (Apabila kamu berselisih di dalam sesutau perkara, maka kembalilah kamu kepada Allah dan kembalilah kamu merujuk kepada Rasulullah S.A.W) merujuk pada ayat yang ke 59, tetapi diartikel ada typing error…surah annisa ayat ke 53… wallahualam.. Jazakallah atas perkongsian ilmu diartikel ustaz ini…….

  2. HN Sultan Jamal permalink

    jadzakallahu khair Ustaz.. syukran atas tips2nya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: