Lompat ke isi kandungan

Berdoa dan Membaca Al Quran di Kuburan

Ogos 2, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Setengah orang mengamalkan berdoa di maqam-maqam ulama terdahulu kerana percaya (berdoa di situ) mustajab. Betulkah cara ini?

Jawapan:

Cara ini tidak betul kerana tidak pernah diajar oleh Nabi. Saya akan berikan beberapa hadis Nabi yang melarang perbuatan tersebut.

Pertama, sebelum kewafatan Nabi SAW, orang ramai datang menziarahi baginda ketika baginda sakit dan dalam keadaan nazak. Apa yang Nabi SAW sebutkan?

اللهمَّ لاَتَجْعَل قَبْرِيْ وَثَنًا يُعْبَدُ اشْتَدَّ غَضَبُ اللهِ عَلى قَوْمٍ اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ

Maksudnya: “Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kuburanku sebagai sembahan, sungguh amat besar sekali kemurkaan Allah terhadap suatu kaum yang menjadikan kuburan-kuburan para nabi sebagai masjid-masjid.” (riwayat Ahmad)

Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda,

لَا تَجْعَلُوْا قَبْرِيْ عِيْدًا وَ صَلُّوْا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ تَبْلُغُنِيْ حَيْثُ كُنْتُمْ

Maksudnya: “Janganlah kalian menjadikan kuburku sebagai tempat yang selalu dikunjungi, tetapi berselawatlah kepadaku, kerana selawat kalian sampai kepadaku di mana pun kalian berada.” (riwayat Abu Dawud, dinilai sahih oleh Al-Albani)

Nabi juga bersabda,

لعن الله اليهود والنصارى اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد

Maksudnya: “Allah melaknat kaum Yahudi dan Nashrani, mereka telah menjadikan kubur-kubur para nabi mereka sebagai masjid (tempat ibadah).” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Itu yang baginda SAW sebutkan sebelum wafat. Apa yang dimaksudkan dengan masjid adalah tempat untuk beribadat; solat, membaca Al-Quran dan sebagainya. Di dalam banyak hadis lain juga disebutkan; antaranya hadis Arab Badwi yang kencing di dalam masjid, setelah Nabi SAW mencuci kencingnya dengan mencurahkan air, Nabi memanggilnya dan mengatakan kepadanya bahawa masjid adalah tempat untuk bersolat, tempat untuk membaca Al Quran.

Dalam hadis yang lain, kata Nabi SAW,

لا تجعلوا بيوتكم مقابر وإن البيت الذي تقرأ فيه البقرة لا يدخله الشيطان

Maksudnya: “Janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian seperti kubur kerana sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al Baqarah tidak dimasuki syaitan.” (riwayat Muslim, Ahmad, Nasa-i)

Apa yang dimaksudkan oleh Nabi SAW ketika baginda mengaitkan rumah dengan kubur yakni rumah yang sunyi daripada bacaan Al Quran diibaratkan seperti kubur. Ini bererti kubur bukanlah tempat membaca Al Quran, tempat membaca Al Quran adalah di rumah.

Ini pesanan Nabi SAW. Walaubagaimanapun, ada perselisihan di kalangan ahli ilmu tentang hukum membaca Al Quran di perkuburan tetapi dalam isu berdoa di makam para ulama dengan kepercayaan ianya mustajab seperti yang berlaku di Pulau Besar dan lain-lain, ianya tidak dibolehkan sama sekali.

Kalau tidak ada di kalangan sahabat Nabi yang berdoa di makam Nabi untuk mendapat doa yang mustajab, apatah lagi kita. Apatah lagi orang-orang yang kita tidak tahu pun benarkah dia itu wali, benarkah dia itu ahli syurga, benarkah semua amalannya diterima, dan sebagainya. Kita pun tidak tahu mengenainya, dia sendiri tidak pasti lagi adakah boleh menjawab semua persoalan yang diajukan kepadanya.

Nabi yang telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT pun menuntut agar orang tidak menjadikan kuburnya sebagai masjid (tempat ibadah), apatah lagi kubur orang lain. Fahami perkara itu dan ianya sudah mencukupi.

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :

Ustaz Fathul Bari: Usaha, Doa & Tawakal (part 5/5)

Tinggalkan Komen

Tinggalkan komen