Lompat ke isi kandungan

Sanggul Bonggol Unta & Batas Aurat Wanita

September 4, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Assalamualaikum ustaz, terangkan hukum wanita bersanggul siput kepala yang tinggi seperti bonggol-bonggol unta. Terangkan batas aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam.

Jawapan:

Bismillah,

Tentang wanita bersanggul, Nabi SAW menyebut di dalam hadis,

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُوْنَ بِهِ النَّاسَ؛ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيْلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُؤُوسَهُنَّ كَأَسْنَمَةِ الْبُخْتِ المْاَئِلَةِ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيْحَهَا، وَإِنَّ رِيْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Ada dua golongan dari penduduk neraka yang aku belum melihat mereka sekarang. (Yang pertama,) suatu kaum yang bersama mereka ada rotan-rotan seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk merotan manusia. (Yang kedua,) para wanita yang berpakaian tapi hakikatnya telanjang, mereka miring lagi membuat orang lain miring. Kepala-kepala mereka seperti bonggol unta yang miring. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wangi syurga, padahal wanginya boleh tercium dari jarak perjalanan sekian dan sekian’.” (riwayat Imam Muslim no. 5547)

Imam Adz-Dzahabi memasukkan hadis ini ke dalam kitabnya Al-Kabaa-ir (Himpunan Dosa-dosa Besar). Di dalam kitab itu telah diulas dan diberikan nota-kaki dan ulasan ringkas oleh Syaikh Masyhur Hasan Ali Salman, seorang tokoh ulama di Jordan. Beliau menyebutkan kenyataan  Mufti Sa’udi dahulu, Syaikh Muhammad Ibn Ibrahim di mana syaikh tersebut menceritakan bahawa dahulu semasa Perancis masuk ke Lubnan, wanita-wanita Perancis pada  ketika itu dilihat bersanggul seperti itu. Jadi itu menunjukkan bahawasanya apa yang Nabi SAW pernah sebut dahulu adalah benar.

“Mereka menampakkan sesuatu yang menonjol” iaitu rambut menjadikan mereka lebih tertonjol berbanding wanita-wanita lain. Itu adalah fatwa Syaikh Muhammad Ibn Ibrahim, ulama saudi dahulu berdalilkan hadis ini.

Ada orang ketika membahaskan hadis ini mengatakan bahawa hadis ini ditujukan untuk wanita yang tidak menutup aurat. Tetapi kita perlu ingat, hadis tersebut perlu dibaca daripada awal. Jangan hanya membaca bahagian itu (bonggol unta) sahaja, tetapi bacalah daripada awal iaitu Nabi menyebut “kaasiyaat ‘aariyaat” – wanita yang berpakaian (ertinya menutup) tetapi seolah-olah bertelanjang, yakni disebabkan tidak cukup syarat-syarat dan etika-etika dalam berpakaian dan menutup aurat.

Sekarang ini kita merasa seronok dan cukup apabila anak-anak perempuan kita memakai tudung, tetapi bahagian bawah daripada tudungnya berpakaian ketat, badan saiz XL tetapi cari baju saiz S. Ini masalahnya apabila dia sendiri keliru dengan berat badannya sendiri, keliru dengan lebar badan sendiri. Kekeliruan ini perlu diatasi.

Kita perlu tahu syarat-syarat dalam berpakaian; pertama menutup semua aurat, kedua pakaian tidak boleh transparen atau jarang, walau pakaian tersebut besar bagaimana sekalipun tetapi jika ianya jarang maka tetaplah tidak dibolehkan memakainya. Ketiga, tidak ketat dan tidak menampakkan bentuk tubuh.

Masyarakat kita merasa cukup dengan memakai tudung sahaja, perkara lain tidak diambil kira. Fesyen dibenarkan di dalam Islam selama mana tidak melampau-lampau atau berlebihan serta hendaklah menepati semua syarat yang ditetapkan di dalam etika berpakaian. Jika cukup syaratnya maka tidak ada masalah untuk berfesyen.

Sambungan hadis tersebut, kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta. Jadi ini menunjukkan bahawa pada asalnya mereka memakai dan menutup, tetapi kaedah cara memakai itu tidak kena. Sanggulnya sepatutnya boleh diikat kecil tetapi dia sengaja membuat sanggulnya tinggi seperti thailand punya pagoda. Ini tidak dibolehkan.

Apatah lagi pada hari ini mereka menjual sanggul yang sudah siap (sanggul tiruan). Kita memahami bahawasanya sekiranya rambut seseorang itu panjang maka ia perlu diikat, tetapi bukanlah mengikat secara melampau sehingga naik menonjol. Bonggol unta maksudnya ia menonjol naik. Apatah lagi bagi yang tiada rambut sangat tetapi dia sengaja pergi tambah, itu lebih kacau.

Batas aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam

Saya ringkaskan, sebaiknya wanita Islam ini tidak menampakkan aurat mereka kepada wanita bukan Islam. Ulama membahaskan panjang perkara ini, ringkasannya disebut oleh Syaikh Ibn al-Utsaimeen rahimahullah, beliau berkata, sebab-sebab larangan seorang muslimah menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam ialah dibimbangi ia akan diceritakan kepada orang.

Walaubagaimanapun ada yang menyangkal pandangan tersebut, kerana sekiranya kita menampakkan aurat kepada wanita Islam pun ia boleh diceritakan kepada orang juga. Kesimpulannya ulama berbeza pendapat di dalam isu ini. Langkah terbaik ialah keluar daripada perselisihan, tidak perlu (menampakkan aurat).

Bahkan ulama turut membincangkan had aurat wanita. Ada yang berkata jika sama-sama wanita atau bersama mahramnya maka auratnya adalah dari pusat hingga ke lutut. Tidak, bukan begitu. Ia (yang benarnya) adalah berdasarkan pakaiannya yang biasa.

Minta maaf saya terpaksa sebutkan hal ini, di rumah kita sering mengambil ringan. Anak-anak perempuan dibiarkan memakai seluar pendek sahaja dengan singlet. Kemudian dibiarkan dia lalu di depan adik lelaki, abang, ayah, ayah saudara. Ini salah dan tidak kena.

Ada yang mengatakan tidak mengapa kerana aurat di hadapan mahram ialah di antara pusat dan lutut. Kefahaman apa begini? Karut.

Yang benarnya adalah memakai pakaian yang biasa. Jadi berhati-hatilah, perbetulkan perkara ini.

Kadang-kadang ada yang berkemban sahaja lalu di dalam rumah, sedangkan di situ ada adik lelaki, ada abang, ayah saudara tumpang rumah, ayah kandung atau ayah tiri sekalipun, ini semua tidak boleh, ini semua fitnah (kerosakan).

Kerana itulah Allah SWT memerintahkan si anak sebelum masuk ke bilik ibu bapanya agar mengetuk pintu dahulu. Kenapa tidak dibolehkan masuk sahaja jika aurat mahram dari pusat hingga ke lutut. Sebab ini adalah hal-hal yang berkaitan hawa nafsu jadi kita tidak boleh mengagak dan mengambil ringan.

Kita pernah dikejutkan dengan berita budak berusia enam tahun dirogol budak darjah satu. Benda-benda ini mereka belajar dari mana? Siapa yang mengajar? Jadi hendaklah berhati-hati kerana perkara seperti ini sangat bahaya.

UFB – sanggul unta dan aurat wanita

http://www.youtube.com/watch?v=irJ43f7XFw4&feature=plcp

2 Komen
  1. Na’Udzubillahh … Terima kasih kaka Artikel nya … Sangat bermanfaat

  2. linda permalink

    huh ??…tpi saya still x faham sgt 😥 help me yaa

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: