Lompat ke isi kandungan

Bermula Gelombang Fitnah Besar: Pembunuhan Umar dan Usman (radhiyallahu’anhuma)

Mac 31, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Sambungan dari Bahagian 1

gelombang fitnahUmar radhiyallahu ‘anhu dibunuh oleh Abu Lu’lu’ah Al-Majusi. Terbunuh orang yang sangat berani, seorang pendekar, khalifah yang hebat di zaman itu. Apabila terbunuhnya Umar, seperti mana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam akan berlaku fitnah yang sangat dahsyat.

Naiklah Usman bin Affan sebagai Khalifah yang ketiga. Usman yang terkenal dengan kelembutan dan sikap amanahnya mula mentadbir negara. Golongan-golongan kuffar, golongan al-munafiqun, golongan yang anti dan benci kepada Islam memang menanti kematian Umar bin Al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu.

Umar tidak melantik Khalifah selepas daripadanya. Apabila anaknya, Abdullah bin Umar bertanya kepadanya ketika dia sedang sakit, perutnya ditoreh oleh Abu Lu’lu’ah Al-Majusi sehingga apabila dia meminum air, air keluar dari perutnya, apabila dia meminum susu, susu keluar melalui perutnya.

Kata Umar, “Aku tidak akan melantik, aku akan mengikuti orang yang lebih baik daripada Abu Bakar.” Abu Bakar melakukan istikhlaf  yakni perlantikan sebelum dia wafat. Adapun kenyataan Umar hendak mengikut orang yang lebih baik daripada Abu Bakar adalah merujuk kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda tidak melantik.

Maka ahli syura pun berbincang, naik nama Usman bin Affan atas asas kedudukannya, hubungannya dengan Nabi, mengahwini dua orang puteri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Tetapi Allah menetapkan perwatakan Usman agak berbeza dengan Umar. Dia seorang yang lembut sehingga golongan yang benci kepada Islam ini mengambil peluang.

Banyak pembaharuan-pembaharuan yang cuba dilakukan oleh Utsman; perlantikan gabenor, di mana dikatakan bahawa Usman melantik daripada kalangan ahli keluarganya sendiri sedangkan lelaki yang dilantiknya itu pernah dicerca oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Sedangkan turut disebut bahawa lelaki itu telah kembali bertaubat dan kembali kepada Islam, dan Usman sebenarnya melantiknya atas asas kapasiti dan kemampuannya, bukan atas asas kroni.

Orang mencercanya dengan mengatakan bau arak dari mulutnya, macam-macam orang di bawah berkata, sehingga mereka pergi kepada Usamah bin Zaid dan memintanya supaya menasihati Usman. Apa kata Usamah,

“Kalian beranggapan bahawa aku tidak menasihatinya kecuali jika aku perdengarkan pada kalian (teguran tersebut)? Sungguh aku telah menegurnya di antara aku dan dia dengan tanpa membuka perkara tersebut. Aku tidak ingin menjadi orang yang pertama kali membuka pintu.”

Ulama membahaskan bahawa pintu yang Usamah maksudkan adalah pintu fitnah. Disebarkan fitnah tentang Usman radhiyallahu ‘anhu, tentang dirinya, kaum keluarganya, korupsi, gabenor yang dilantik tidak berkaliber, ini semua fitnah tentangnya.

Apa yang berlaku, keluarlah golongan-golongan pemberontak. Berlaku sejarah demonstrasi pertama di dalam Islam, iaitu di zaman Usman bin Affan. Adakah para sahabat menyertai demonstrasi itu? Tidak! Tidak ada seorang pun dari kalangan sahabat-sahabat Nabi radhiyallahu anhum yang menyertai demonstrasi.

Apabila berlaku hal yang sedemikian rupa, sahabat-sahabat Nabi sangat bertanggungjawab, mereka tidak mementingkan diri sendiri. Ali bin Abi Talib mengutus anaknya, Hasan dan Husain menjadi pengawal peribadi kepada Usman, menjaga di pintu rumah Usman sebab pendemonstran telah mencapai tahap gila, mereka pergi ke rumah Usman dan hendak masuk dan menceroboh.

Hasil demonstrasi ini, mereka berjaya membunuh Usman bin Affan. Apabila terbunuhnya Usman bin Affan, para ulama yang datang setelah itu seperti Ibnu Sirin rahimahullah menyebut,

لَمْ يَكُونُوا يَسْأَلُونَ عَنِ الْإِسْنَادِ، فَلَمَّا وَقَعَتِ الْفِتْنَةُ قَالُوا: سَمُّوا لَنَا رِجَالَكُمْ؛ فَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ وَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ الْبِدَعِ فَلاَ يُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ

“Dahulu mereka tidak pernah bertanya tentang sanad. Namun, apabila telah terjadi fitnah mereka berkata, ‘Sebutkan nama perawi-perawi kalian!’ Kemudian apabila dilihat kepada Ahlus Sunnah maka diambil hadisnya, dan dilihat kepada ahli bid’ah maka tidak diambil hadisnya.” (Muqaddimah Sahih Muslim)

Apabila berlakunya fitnah; yang dimaksudkan dengan fitnah adalah pembunuhan Usman, orang mula berhati-hati dalam menerima hadis, mereka tidak menerima semua. Sebab banyak sangat fitnah-fitnah dan tuduhan palsu ke atas Usman, dibimbangi orang mengambil kesempatan menyebarkan perkataan-perkataan palsu yang disandarkan kepada Nabi untuk tujuan politik dan kepentingan.

Setelah pembunuhan Usman bin Affan, berlakulah perbincangan di kalangan sahabat Nabi tentang siapakah yang akan menjadi Khalifah setelah Usman. Maka dipersetujui Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu sebagai Khalifah yang keempat.

Muawiyah bin Abi Sufyan radhiyallahu ‘anhu meminta agar Ali bin Abi Thalib cepat-cepat mengambil langkah mencari siapakah pembunuh Usman, kerana Muawiyah ada pertalian darah dengan Usman. Muawiyah meminta agar dihapuskan golongan yang seperti ini kerana mereka pasti akan mencetuskan huru hara yang lebih besar.

Kejayaan mereka hingga terbunuhnya Umar bin Al-Khattab, kejayaan sehingga terbunuhnya Usman bin Affan, nanti dibimbangi berlaku hal yang sama kepada Ali bin Abi Thalib.

Muawiyah yang memiliki autoriti untuk berijtihad, berijtihad bahawa Ali perlu segera mencari pembunuh Usman.

Ali pula berkata beliau hendak mengukuhkan terlebih dahulu saff umat Islam. Akibat perpecahan ini, sekiranya cepat-cepat mengambil tindakan dibimbangi akan berlaku huru-hara yang berpanjangan. Ini kerana pembunuhan Usman adalah pembunuhan terancang.

Perancangannya bermula dengan fitnah-fitnah yang disebarkan, provokasi-provokasi, ideologi qa’idiyah iaitu ideologi golongan Khawarij yang memberontak bukan dengan senjata tetapi dengan provokasi, membangkitkan kemarahan rakyat kepada Usman dengan menyebarkan maklumat-maklumat dan fitnah tentang Usman.

Apabila mereka berjaya membangkitkan kemarahan orang ramai, barulah mereka sampai ke tahap Khawarij yang kedua iaitu merusuh dengan senjata sehingga terbunuhnya Usman.

Ali hendak menyusun semula barisan umat Islam. Muawiyah pula berpendapat Ali perlu mencari segera pembunuh Usman. Kedua-dua mereka mempunyai autoriti untuk berijtihad. Sabda Nabi di dalam hadis,

إِذَا اجْتَهَدَ الْحَاكِمُ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا اجْتَهَدَ فَأَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

“Apabila seorang hakim berijtihad lalu dia benar, dia memperoleh dua ganjaran pahala. Dan jika dia berijtihad dan salah, maka dia mendapat satu ganjaran pahala.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini bermakna setiap orang yang berijtihad itu akan mendapat pahala, yakni orang yang ada kelayakan dan autoriti untuk berijtihad, bukan kita. Tidak boleh kita berijtihad bahawa Muawiyah tidak betul. Siapa kita untuk berijtihad?

Hal ini yang disalah tafsirkan oleh kebanyakan penulis. Hassan Saqqaf yang cenderung kepada Syiah di Jordan yang bukunya dimanfaatkan oleh beberapa orang anak muridnya di Malaysia mengkritik dan mencerca Muawiyah sahabat Nabi. Adakah dia layak berkata sedemikian?

Kita telah katakan bahawa kita sedang bicarakan tentang sahabat Nabi; manusia-manusia luar biasa yang batang tubuh mereka yang berjalan di atas muka bumi ini sebenarnya adalah ahli-ahli syurga yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Bersambung ke Bahagian 3: Perang Jamal dan Perang Siffin

Tinggalkan Komen

Tinggalkan komen