Lompat ke isi kandungan

[Bahagian 3] Meluruskan sejarah pertelingkahan para sahabat: Perang Jamal & Perang Siffin

April 2, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

1650_440123189395901_128184376_nApabila Ali dan Muawiyah masing-masing berijtihad dan berbeza pandangan, golongan-golongan yang benci kepada Islam mula memainkan peranan dan mengambil kesempatan.

Sahabat Nabi cuba untuk mengatasi perselisihan tersebut dengan cara yang baik, tetapi disebabkan fitnah dan provokasi, dan disebabkan ramai musuh-musuh di dalam selimut di dalam kem Ali, di dalam kem Muawiyah, dan juga di luar kem, perselisihan dan salah faham menjadi semakin besar.

Sehingga wujud di dalam kem Ali golongan Syiah, pelampau kepada Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anh dan mengkafirkan Muawiyah. Wujud juga di sana golongan Khawarij yang mengangkat pedang dan meletakkan Al-Quran di hujung pedang mereka sambil mengatakan,

إن الحكم إلا لله

“Tidak ada ketetapan hukum melainkan hukum Allah.” (surah Al-An’aam, 6: 57)

 

Mereka mengkafirkan Ali dan Muawiyah dan orang-orang yang bersama dengan Ali dan Muawiyah kerana mengatakan usaha Ali dan Muawiyah tidak berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka keluar ke satu tempat dengan jumlah mereka sebanyak puluhan ribu orang. Ini bukan hal yang kecil.

Perselisihan mereka adalah perselisihan terbesar dalam sejarah Islam, kerana ia berlaku di kalangan kelompok yang paling mulia. Sahabat Nabi berselisih dan mereka mencari jalan penyelesaian. Tetapi pada masa yang sama wujud golongan yang benci dan anti kepada Islam yang melakukan provokasi sehingga perselisihan itu sukar diselesaikan dan membawa kepada perpecahan.

Sehingga Aisyah radhiyallahu ‘anha pun dikatakan terlibat di dalam peperangan yang dinamakan peperangan Jamal. Adakah Aisyah keluar untuk pergi berperang? Tidak! Hal ini telah dijawab oleh Ibnul Arabi dan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, dan ianya jelas ketika Aisyah r.a. sampai di satu tempat bernama Al-Hau-ab, dia teringat sabda Nabi kepadanya, apabila kamu lalu di satu tempat bernama Al-Hau-ab dan mendengar anjing menyalak maka hendaklah kamu berpatah balik.

Apabila Aisyah pergi dan di dalam perjalanan dia mendengar anjing menyalak dan dia hendak berpatah balik, seorang sahabat Nabi, Az-Zubair radhiyallahu ‘anhu yang bersama-sama dengan Aisyah ketika itu berjaya meyakinkan Aisyah bahawa pemergian mereka itu bukan untuk berperang tetapi adalah untuk mendamaikan kaum Muslimin yang berselisih tentang bagaimana menyikapi kematian Usman. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Qais bin Abi Hazim, dia berkata:

لَمَّا بَلَغَتْ عَـائِشَةُ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا دِيَـارَ بَنِيْ عَامِرٍ، نَبَحَتْ عَلَيْهَا الْكِلاَبُ، فَقَالَتْ: أَيُّ مَـاءٍ هَذَا؟ قَالُوْا: الْحَوْأَبُ. قَالَتْ: مَا أَظُنُّنِيْ إِلاَّ رَاجِعَةً. قَالَ لَهَا الزُّبَيْـرُ: لاَ بَعْدُ، تَقَدَّمِيْ، فَيَرَاكِ النَّاسُ، فَيُصْلِحُ اللهُ ذَاتَ بَيْنِهِمْ. فَقَالَتْ: مَا أَظُنُّنِيْ إِلاَّ رَاجِعَةً، سَمِعْتُ رَسُـوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: كَيْفَ بِإِحْدَاكُنَّ إِذَا نَبَحَتْهَا كِلاَبُ الْحَوْأَبِ.

“Apabila ‘Aisyah Radhiyallahu anha sampai di perkampungan Bani ‘Amir, anjing-anjing menyalak, lalu dia berkata, “Air apakah ini?” Mereka berkata, “Al-Hau-ab.” Dia berkata, “Aku kira aku harus kembali.” Az-Zubair berkata kepadanya, “Tidak, nanti, majulah, orang-orang akan melihatmu sehingga Allah mendamaikan di antara mereka.” Beliau berkata, “Aku kira aku harus kembali, aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Apa yang terjadi pada salah seorang di antara kalian ketika anjing-anjing al-Hau-ab menyalaknya?’”(Riwayat Al-Hakim)

Dari Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu anhuma, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada isteri-isterinya,

أَيَّتُكُنَّ صَاحِبَةُ الْجَمَلِ اْلأَدْبَبِ، تَخْرُجُ حَتَّى تَنْبَحَهَا كِلاَبُ الْحَوْأَبِ، يُقْتَلُ عَنْ يَمِيْنِهَا وَعَنْ شِمَالِهَا قَتْلَى كَثِيْرَةٌ، وَتَنْجُو مِنْ بَعْدِ مَاكَادَتْ

“Siapakah di antara kalian yang memiliki unta dengan banyak bulu di mukanya, dia pergi sehingga anjing-anjing al-Hau-ab menyalak, di sebelah kanannya dan sebelah kirinya banyak (orang) yang terbunuh, dan dia selamat padahal sebelumnya hampir saja (dia pun terbunuh).” (Fathul Bari, disahihkan oleh Syaikh Albani)

Maka apabila Aisyah bersama Az-Zubair dan sahabat-sahabat Nabi yang lain menuju ke kem Ali bin Abi Thalib dengan tujuan untuk melakukan islah dan mendamaikan kaum Muslimin yang berselisih, para pembunuh Usman merasa takut sekiranya pihak Ali bersepakat dengan mereka untuk menangkap orang-orang yang membunuh Usman. Lalu mereka pun menghantar pasukan untuk menyerang kumpulan Az-Zubair dan Thalhah yang bersama-sama dengan Aisyah, sehingga Thalhah dan Az-Zubair menyangka bahawa Ali telah menyerang mereka.

Thalhah dan Az-Zubair membawa pasukan pertahanan sehingga Ali menyangka bahawa mereka telah diserang oleh Thalhah dan Az-Zubair. Ali pun menghantar pasukan pertahanan sehingga akhirnya terjadilah peperangan di antara kem Ali dan kem Aisyah yang hakikatnya bukan di atas keinginan mereka semua.

Yang menjadi dalang sehingga terjadinya peperangan adalah golongan munafiqin, musuh di dalam selimut yang membangkitkan provokasi dan permusuhan, sedangkan para sahabat Nabi yang mulia tidak pernah berniat untuk bergaduh sesama sendiri.

Adakah mereka sengaja hendak berperang sebagaimana umat Islam pada hari ini yang sengaja berkelahi dan cari gaduh? Para sahabat bebas daripada perkara-perkara seperti itu. Semua usaha dan tindakan mereka adalah menyeru kepada perdamaian dan menyelesaikan isu dan permasalahan.

Tetapi oleh kerana provokasi dan fitnah yang dibangkitkan oleh golongan-golongan yang benci kepada Islam menyebabkan berlaku perbalahan dan pergaduhan.

Selesai peperangan Jamal, berlaku pula peperangan Siffin di antara Ali dan Muawiyah. Walaupun besar peperangan tersebut, jumlahnya ramai, tetapi sahabat Nabi sangat sedikit jumlah mereka. Sahabat seperti Abdullah ibn Umar dan Abdullah bin Abbas mengambil langkah berlepas diri.

Ini kerana Rasulullah telah memaklumkan bahawa pergaduhan dan perselisihan akan berlaku dari kalangan dua kelompok) di mana kedua-duanya adalah Islam.

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَقْتَتِلَ فِئَتَانِ عَظِيمَتَانِ يَكُونُ بَيْنَهُمَا مَقْتَلَةٌ عَظِيمَةٌ دَعْوَتُهُمَا وَاحِدَةٌ

“Tidak akan tegak hari kiamat hingga terjadi peperangan antara dua kelompok besar. Korban besar terjadi di antara keduanya. Kedua kelompok itu memiliki seruan yang sama.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Para ulama menjelaskan bahawa dua kelompok besar yang dimaksud dalam hadis ini adalah Ali bersama barisannya dari penduduk Iraq dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan bersama barisannya dari penduduk Syam. (Fathul Bari)

Memang dalam hadis yang lain Nabi menggambarkan akan terbunuhnya seorang dari kalangan sahabat Nabi dan orang itu berada di pihak yang benar, iaitu yang berada bersama dengan pihak Ali bin Abi Thalib, bukan Muawiyah, menggambarkan Muawiyah di pihak yang salah.

Adakah salahnya Muawiyah itu adalah salah di atas pilihan hawa nafsunya, atau salahnya dia adalah kerana ijtihad?

Ijtihad. Beliau tersalah di dalam ijtihadnya. Nabi bersabda bahawa orang yang mempunyai kelayakan untuk berijtihad dan salah di dalam ijtihadnya mendapat satu ganjaran pahala. Yang perlu kita bimbangi adalah masyarakat kita pada hari ini mendapat dosa kerana mereka berkata-kata tentang sahabat Nabi dengan perkataan yang tidak baik.

Bersambung bahagian 4: Hikmah dan pengajaran dari perselisihan para sahabat

2 Komen
  1. pandangan ahlussunnah wal jamaah lah yg benar…karna Allah taala sudah meridhai mereka smua para sahabat mulia.

  2. sungguh amat jelek mereka para pencaci maki para sahabat…sungguh mereka amat bodoh dlm beragama mengikuti nafsu mereka sendiri… syiah dan khawarij…

Tinggalkan komen