Lompat ke isi kandungan

9 WASIAT IMAM SYAFI’I

Mei 13, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

21281_382826901834903_782788623_nDi dalam kitab Sifat Solat Nabi, Syaikh Al-Albani rahimahullah membawakan banyak contoh perkataan Imam Syafi’i rahimahullah sebagai peringatan dan panduan kepada kita, di antaranya;

Berkata Imam Al-Syafi’i,

ما من أحد إلا وتذهب عليه سنة لرسول الله صلى الله عليه وسلم وتعزب عنه فمهما قلت من قول أو أصلت من أصل فيه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم لخلاف ما قلت فالقول ما قال رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو قولي

“Setiap orang boleh mengingati sesuatu riwayat dan boleh pula melupakannya. Adapun pendapat yang kami cetuskan atau kami dedahkan sumbernya tetapi berlawanan dengan apa yang berasal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam maka yang benar adalah apa yang berasal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dan itulah pendapatku.”

Imam Syafi’i awal-awal lagi telah meletakkan kedudukan hadis Nabi di tempat yang tertinggi dalam kehidupannya. Berbeza dengan budaya sebahagian daripada kita yang meletakkan kedudukan mazhab Syafi’i lebih tinggi sebagai ikutannya berbanding kedudukan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Berkata Imam Syafi’i lagi;

أجمع المسلمون على أن من استبان له سنة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يحل له أن يدعها لقول أحد

“Telah ijma’ (bersepakat) seluruh umat Islam bagi sesiapa yang telah jelas baginya sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, tidak halal baginya untuk meninggalkan sunnah tersebut kerana perkataan seseorang.”

Adapun masyarakat pada hari ini, apabila orang membacakan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, mereka menolaknya dengan alasan ianya tidak pernah dibuat oleh Ulama Nusantara. Kita meletakkan hadis Nabi di hadapan mata mereka tetapi mereka mengatakan ia bukan amalan Ulama Nusantara. Kemudian apabila kita bertanya apa dalilnya, mereka mengatakan mustahil Ulama Nusantara itu tidak tahu dalilnya. Hujah seperti ini tidak relevan. Sekarang ini zaman di mana kita boleh mengkaji dan menganalisa maka kita perlu menganalisa dengan hati yang terbuka, bukan kerana kepentingan dan kecenderungan kepada mana-mana pihak. Adapun kecenderungan yang tidak boleh berbelah bahagi adalah kecenderungan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Kata Imam Syafi’i lagi,

إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا ما قلت

وفي رواية : فاتبعوها ولا تلتفتوا إلى قول أحد

“Apabila kamu mendapati di dalam kitabku sesuatu yang bercanggah dengan Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, maka berkatalah kamu dengan Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan tinggalkanlah apa yang aku kata.” Dan dalam riwayat lain: “Maka ikutlah ia (Sunnah Nabi) dan janganlah kamu berpaling-paling kepada perkataan seseorang yang lain.”

Maka apabila ada hadis Nabi, cukup dengan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Jangan beralih mencari pendapat-pendapat yang lain. Memadai langsung kita berpegang dengan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, kerana dia adalah Nabi. Adakah kita merasakan manusia lain lebih maju, lebih mulia dan tinggi kedudukannya daripada Nabi? Bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan perkataan-perkataan yang seperti ini.

Berkata lagi Imam Syafi’i,

إذا صح الحديث فهو مذهبي

“Apabila sahih sesuatu hadis maka itulah mazhabku.”

Perkataan ini yang menyebabkan Imam Tajuddin Al-Subki mengumpul maksud perkataan Imam Al-Syafi’i, sekiranya hadis itu sahih maka itulah mazhabku.

Berbeza dengan kebanyakan di kalangan masyarakat kita, yang mengatakan sekiranya ianya ada dalam mazhab Syafi’i maka itulah mazhab kita. Ikatan kita itu lain, kita telah mengecilkan ilmu.

Di mana kita hendak meletakkan Imam Malik yang Imam Al-Syafi’i mengambil ilmu daripadanya? Di mana kita hendak meletakkan Imam Abu Hanifah yang Imam Al-Syafi’i berguru dengan anak muridnya? Di mana kita hendak meletakkan Imam Ahmad bin Hanbal yang mana Imam Al-Syafi’i menjadi guru kepadanya dan beliau memberikan manfaat ilmu hadis kepada Imam Al-Syafi’i?

Di mana kita hendak meletakkan ilmu ulama-ulama yang lain. Adakah kita hendak mengatakan bahawa ilmu ini sekadar apa yang ada di dalam mazhab Syafi’i sahaja? Adakah kita ingin mengatakan hanya ilmu di dalam mazhab Syafi’i sahaja betul dan selainnya adalah salah?

Kalau begini caranya maka pakat bertengkarlah kita. Sebaliknya kita mempelajari semua dan mengkombinasikan kesemuanya serta memanfaatkan kesemua ilmu yang ada. Semua ulama yang benar-benar ulama, yang ilmunya benar sebagaimana yang disampaikan oleh Nabi, mereka adalah ulama. Tidak kira Imam Syafi’i, atau Imam Bukhari, Muslim dan sebagainya. Mereka adalah para Ulama yang kita sanjungi mereka dan kita mengambil manfaat daripada semua ilmu-ilmu mereka selama mana perkataan mereka itu tepat dan selari dengan Al-Quran dan Sunnah. Al-Quran dan Sunnah adalah neraca timbangannya.

Kata Imam Al-Syafi’i lagi,

أنتم أعلم بالحديث والرجال مني فإذا كان الحديث الصحيح فأعلموني به أي شيء يكون: كوفيا أو بصريا أو شاميا حتى أذهب إليه إذا كان صحيحا

“Kamu (Wahai Imam Ahmad) lebih mengetahui tentang hadis dan ilmu rijal (ilmu tentang perawi-perawi hadis) daripadaku. Maka sekiranya ada hadis sahih maka maklumkanlah kepadaku di mana hadis itu: sama ada di Kufah, atau di Basrah, atau Syam sehingga aku pergi kepadanya sekiranya ianya sahih.”

Perkataan ini dikatakan oleh Imam Syafi’i kepada Imam Ahmad bin Hanbal. Ini menunjukkan kerendahan diri dan sifat tawaduk Imam Syafi’i, mengakui kelemahannya. Bukan seperti kita yang baru mengaji dan baru pakai serban, sudah mula mengutuk pengarang kitab dan pakar hadis seperti Syaikh Albani contohnya. Kalau Imam Syafi’i boleh merendah diri kepada muridnya Imam Ahmad bin Hanbal, kita lebih lagi perlu merendah diri dengan ilmuan-ilmuan. Jika tidak setuju dengan pendapatnya sekalipun bukanlah dengan cara memaki hamun.

Imam Syaf’i juga tidak kisah di mana pun hadis itu, tidak kira ianya dari orang mana, dia sanggup pergi mencarinya selama mana hadis itu sahih.

Berkata lagi Imam Al-Syafi’i,

كل مسألة صح فيها الخبر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم عند أهل النقل بخلاف ما قلت فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي

“Setiap masalah yang telah sahih khabarnya (riwayatnya) daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di sisi pakar-pakar hadis yang mana ia bercanggah dengan perkataanku maka aku tarik balik perkataanku sama ada ketika aku hidup dan juga selepas aku mati.”

Sebab itu Imam Al-Baihaqi rahimahullah digelar sebagai Nasiru Mazhabi Al-Syafi’i (penolong mazhab Syafi’i). Ini kerana Imam Baihaqi terkenal dengan ilmu hadis, mana-mana hadis sahih dia mengatakan ini mazhab Syafi’i, kerana dia berpegang dengan perkataan Imam Syafi’i ini walaupun mazhab Syafi’i adalah sebaliknya.

Berkata Imam Syafi’i lagi;

إذا رأيتموني أقول قولا وقد صح عن النبي صلى الله عليه وسلم خلافه فاعلموا أن عقلي قد ذهب

“Apabila kamu telah melihat aku berkata satu perkataan dan telah sahih daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam perkataan yang berbeza (dari perkataanku), maka ketahuilah bahawasanya akalku telah pergi (gila).”

Ini jelas menunjukkan bahawa Imam Syafi’i tidak mahu menyelisihi petunjuk dan hadis dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Imam Syafi’i berkata lagi;

كل ما قلت فكان عن النبي صلى الله عليه وسلم خلاف قولي مما يصح فحديث النبي أولى فلا تقلدوني

“Setiap apa yang aku katakan, sekiranya daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bercanggah dengan perkataanku daripada perkataan Nabi yang sahih, maka hadis Nabi lebih utama dan jangan kamu bertaqlid kepadaku (mengikutiku).”

Imam Syafi’i memerintahkan supaya jangan mengikutinya sekiranya perkataannya bercanggah dengan hadis Nabi yang sahih.

Berkata lagi Imam Syafi’i;

كل حديث عن النبي صلى الله عليه وسلم فهو قولي وإن لم تسمعوه مني

“Setiap hadis dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah perkataanku walaupun engkau tidak mendengarkannya daripadaku.”

Subhanallah. Sembilan ucapan Imam Al-Syafi’i menyuruh kita berpegang dengan hadis Nabi. Mudah dan senang untuk difahami. Imam Al-Syafi’i telah memberikan kepada kita metodologi dan manhaj cara beragama, beliau memerintahkan supaya jangan kita bertaqlid buta.

Bukan suruh menolak mazhab, la hawla wala quwwata illa billah. Orang yang mengatakan apabila kita mengajak supaya kembali kepada hadis Nabi bererti kita menolak mazhab, kita katakan kepadanya seperti mana kata Imam Syafi’i, “maka bertakbirlah kepadanya empat kali (kerana kematiannya)” menggambarkan bahawa orang yang seperti ini tidak ada faedah kerana kejahilan mereka.

Adakah mereka tidak tahu bahawa kita mengajak manusia mengikuti Nabi, bukan mengikuti mana-mana manusia, dan apakah mereka tidak tahu bahawa apabila kita membicarakan hal ini, kita mengajak orang supaya menjadikan Imam Syafi’i sebagai ikon untuk mengikuti dan kembali merujuk kepada Nabi. Jika hendak mengambil ikon yang lebih tinggi berbanding Imam Syafi’i sudah tentulah kita menjadikan sahabat Nabi sebagai ikon yang paling tinggi di dalam merujuk kepada Nabi dalam hal-hal berkaitan agama.

Maka apabila kita berbicara tentang Imam Syafi’i, kita perlu ingat bahawa kita sedang berbicara tentang orang yang sangat bersungguh-sungguh untuk mengikuti Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Maka apabila kita melihat perkataan Imam Syafi’i, lihat apa dalil yang beliau bawakan. Apabila kita mendapati hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, maka dahulukan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Imam Syafi’i adalah ikon di kalangan Ulama untuk kita contohi. Ini sepatutnya yang perlu ada dalam jiwa orang yang benar-benar hendak memahami agama. Sekiranya kita menutup dada dan minda kita daripada mengkaji dan memahami agama, maka sampai bila-bila kita tidak akan dapat menguasai ilmu agama dengan baik.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

2 Komen
  1. kamal permalink

    Terimakasih kerana artikel ini dan yg lainnya. semoga mendapat pahala dr allah. komen saya kalau boleh hadis atau ayat quran yg dipaparkan harap diletakkan baris supaya mudah org seperti saya yg tidak tau nahu arab untuk membacanya. kalau tidak,, takut tersalah baca dan bunyinya.

  2. safwan permalink

    Barangsiapa menasihati saudaranya secara diam-diam, bererti ia telah menasihati dan mengingati kebaikannya; dan barang siapa menasihatinya ditempat ramai, maka ia telah membuka rahsianya dan memburukkan namanya
    Saya ingin bertanya .. adakah hadis dari imam syafie ini adalah hadis yg sahih??

Tinggalkan komen