CINTA SEJATI KEPADA NABI SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM
Dr. Fathul Bari Mat Jahya
Mencintai Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak cukup sekadar dengan pengakuan semata-mata, sebaliknya hendaklah direalisasikan seperti apa yang disabdakan oleh Baginda, “Tidaklah salah seorang kalian beriman sehingga aku lebih dia cintai dari anaknya, ibubapanya, dan seluruh manusia.” (Al-Bukhari & Muslim).
Untuk kita membela agama yang dibawa oleh Nabi, kita hendaklah mencintai Baginda lebih dari diri sendiri dan kecintaan itu hendaklah diterjemahkan dengan tindakan. Cinta seperti inilah yang mengisi hati para sahabat. Abu Bakar Al-Siddiq radhiyallahu ‘anh pernah berkata,
Wahai Rasulullah, demi Allah sesungguhnya aku lebih mencintaimu dari keluargaku. Sesungguhnya aku lebih mencintaimu dari anakku. Ketika aku berada di rumah, aku teringat dirimu, aku tidak mampu sehingga aku datang bertemu denganmu lalu aku melihatmu. Namun ketika aku teringat kematianku dan kematianmu, aku mengetahui bahawa bila engkau masuk syurga engkau berada di kedudukan para Nabi, dan bila aku masuk syurga, aku tidak dapat melihatmu.” (Hasan, Al-Thabarani)
Nabi tidak menjawab sehingga turun ayat, “Barang siapa mentaati Allah dan Rasul, maka mereka bersama orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah dari kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada, dan Solehin.” (Al-Nisa: 69)
Umar bin Al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu berkata, “Dahulu aku mempunyai seorang jiran Ansar dari Bani Umayyah bin Zaid, sebuah kabilah yang bermukim di dataran tinggi kota Madinah. Kami berdua bergilir-gilir mengunjungi Rasulullah. Jika hari ini dia turun maka esoknya aku yang turun. Selesai menemui Rasulullah SAW, aku khabarkan kepadanya apa yang disampaikan Rasulullah pada hari itu, baik berupa wahyu atau lainnya. Demikian juga halnya kalau dia yang turun, dia melakukan hal sama.
Sebagai lelaki Quraisy, kami orang yang memiliki penguasaan terhadap isteri-isteri kami. Tetapi setiba kami di Madinah, kami dapati orang Ansar adalah orang yang kalah oleh isteri-isteri mereka. Akibatnya isteri-isteri kami mula terpengaruh dengan tabiat wanita Ansar. Pernah satu ketika aku membentak isteriku, tapi dia membantah. Aku jadi berang bila dia berani membantahku.
Isteriku berkata,“Mengapa kamu marah atas sikapku, padahal isteri-isteri Nabi juga membantah Baginda? Bahkan ada antara mereka yang meninggalkan Baginda seharian hingga malam.” Aku menyinsing pakaianku dan menuju rumah Hafsah. Setiba aku di rumahnya, aku berkata: “Wahai Hafsah, benarkah ada di antara kalian yang membuat Rasulullah SAW kesal seharian hingga malam?” “Benar” jawabnya.
“Alangkah ruginya kamu. Apa kamu merasa aman dari murka Allah setelah kamu membuat kesal RasulNya, hingga boleh jadi kamu celaka kerananya? Jangan meminta kepada Nabi dan jangan sekali-kali membantah atau meninggalkannya. Mintalah kepadaku apa yang kamu inginkan dan jangan kamu terpengaruh oleh madumu kerana dia lebih cantik dan lebih dicintai oleh Rasulullah SAW”.
Pada ketika itu warga Madinah sedang membicarakan bahawa Raja Ghassan sedang menyiapkan pasukan berkuda untuk menyerang Madinah. Ketika itu, tiba giliran jiranku orang Ansar itu untuk turun menemui Rasulullah. Petangnya, dia mendatangiku dengan tergesa-gesa dan mengetuk pintu rumahku dengan kuat. Dia berkata, “Ada perkara besar yang baru terjadi!”
Aku bertanya, “Adakah pasukan Ghassan telah tiba?” Jawabnya, “Jauh lebih besar dan lebih ngeri dari itu! Nabi SAW telah menceraikan isteri-isterinya!” Aku bergumam, “Alangkah rugi si Hafsah kalau begitu.” (Riwayat Al-Bukhari)
Lihatlah bagaimana sikap para sahabat yang lebih mementingkan Rasulullah atas diri dan keluarga, sehingga bagi mereka, serangan pasukan Raja Ghassan lebih kecil jika dibanding apa yang terjadi dengan rumahtangga Nabi SAW.
Abu Sufyan ra. berkata, “Aku tidak melihat seorang pun manusia yang mencintai manusia seperti kecintaan sahabat Muhammad kepada Muhammad.” (Sirah Ibn Hisyam)
CINTA SEJATI
Cinta yang sejati lagi ikhlas terhadap Nabi akan terzahir di dalam akhlak, amalan, tingkah laku dalam kehidupan, bahkan akan mendorong seseorang itu menolong agama yang dibawa oleh kekasihnya. Bagaimana kita menolong agama yang dibawa oleh Nabi yang kita cintai? Antaranya adalah dengan mengikuti, menyebarkan dan mempertahankan Sunnah Baginda.
Bagaimana mungkin suatu kaum mendakwa mencintai Nabi, kemudian dialah yang memusnahkan ketulenan Agama dan melenyapkan sunnah Nabinya dengan melakukan pelbagai amalan bid’ah di dalam agama? Layakkah mereka dikatakan orang yang mencintai Nabi sedangkan merekalah yang menokok tambah dan mengubah-ubah ajaran yang dibawa oleh kekasihnya?
Tidakkah mereka bimbang generasi akan datang tidak lagi mengenal sunnah Nabi kerana apa yang diamalkan di sekitarnya adalah agama yang ditokok tambah oleh generasi sebelumnya?
Sesungguhnya syarat agar ALLAH mencintai seseorang hamba adalah dengan dia mengikuti Sunnah Nabi dan menjauhi segala amalan bid’ah. Ini sebagaimana firman ALLAH, “Katakanlah (wahai Muhammad), sekiranya kamu mencintai ALLAH maka ikutilah aku nescaya ALLAH akan mencintai kamu.” (Ali Imran: 31)
ALLAH menetapkan syarat mengikuti Nabi SAW untuk Allah cinta kepada kita. Soal kita mencintai Nabi, itu tidak ada maknanya jika amalan kita menyelisihi amalan Nabi dan akibatnya Allah tidak cinta kepada kita. Apa yang lebih penting adalah kita mengikuti ajaran Baginda, barulah Allah membalas cinta kita. Firman ALLAH dalam surah Al-Nisa ayat 115, “Barangsiapa menyelisihi Rasul setelah jelas kebenaran baginya dan mengikuti selain jalan orang-orang beriman (para sahabat), nescaya Kami biarkan dia dalam kesesatan yang dilakukan itu.”
Alangkah mendalam erti cinta terhadap Nabi yang diperlihatkan oleh Imam Darul Hijrah yakni Imam Malik rahimahullah ketika beliau berkata, “Barangsiapa yang melakukan bid’ah dalam Islam yang dia lihat baik, maka dia telah menuduh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengkhianati risalah, kerana Allah telah berfirman, ‘Pada hari ini telah aku sempurnakan untukmu agama kamu’ (Al-Maidah: 3), maka apa yang bukan agama pada hari itu, tidak akan menjadi bahagian agama pada hari ini.” (riwayat Imam Al-Syatibi dalam Al-I’tisam)
PERAYAAN MAULID NABI
Tidak ada ulama salaf yang merayakan maulid Nabi. Perayaan maulid Nabi baru muncul pada abad ke-4 hijriyah di Mesir, dimulakan oleh kerajaan Syiah Fathimiyah Mesir secara besar-besaran. Selama empat ratus tahun sejak hijrahnya Nabi SAW, kaum Muslimin tidak mengenal perayaan maulid Nabi. Jadi maulid Nabi adalah suatu hal yang baru dalam agama, kerana tidak ada satu pun generasi awal umat Islam mengerjakannya.
Ada yang mengatakan tidak mengapa kita meniru hal itu kerana ia dilihat baik. Namun baik-buruk dalam urusan agama ini tidaklah diukur dengan sangkaan dan rasa-rasa. Ini kerana sekiranya hal itu benar-benar adalah kebaikan, ketahuilah dengan pasti bahawa generasi awal Islam dari kalangan para Sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang pertama yang akan melakukannya.
Malah para ulama berselisih pendapat tentang tarikh kelahiran Nabi SAW. Namun apa yang sahih adalah rabiul awwal juga merupakan tarikh kewafatan Baginda. Jadi umat Islam harus ingat bahawa ada kebarangkalian orang yang bergembira merayakan tarikh itu sebenarnya sedang bersenang-senang dengan kewafatan Nabi. Boleh jadi dia bergembira dengan lahirnya nabi, dan boleh jadi dia bergembira dengan wafatnya Nabi kerana Nabi SAW wafat pada tarikh itu. Hal ini tidak mustahil kerana perayaan ini sendiri dimulakan oleh orang-orang Syiah, di samping mereka turut merayakan hari kelahiran ahlul bait.
Adapun beberapa ulama terkemudian yang berpendapat bolehnya sambutan maulid, mereka sekadar membolehkan dalam bentuk mengingati, dan tetap melarang segala acara bid’ah dan maksiat yang dilakukan di dalamnya seperti acara nyanyian, majlis yang bercampur lelaki dan perempuan, puji-pujian berlebihan ke atas Nabi dan sebagainya. Ini adalah hal yang diingkari.
Agama menyuruh kita mentaati Al-Quran dan Sunnah, dan Nabi memerintahkan kita menjauhi setiap perkara baru dalam agama. Jadi jalan selamat adalah meninggalkan apa yang tidak dilakukan oleh generasi awal umat Islam dari kalangan Sahabat dan para Tabi’in. Sabda Nabi SAW, “Jauhilah perkara-perkara baru (dalam urusan agama), kerana perkara baru adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah kesesatan.” (Sahih, Abu Daud)
Ketahuilah bahawa orang yang jujur mencintai Nabi adalah orang yang berbangga dengan akidah dan syariat yang dibawa oleh Nabi. Sama sekali tidak ada keinginan dalam hatinya untuk meniru-niru selain amalan yang diajar oleh kekasihnya. Mereka menolong agama yang dibawa Nabi, berusaha mempelajari Sunnah Nabi dan mengajarkan kepada keluarga dan orang lain.
Orang yang mencintai Nabi mengamalkan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang dari yang sekecil-kecilnya hingga ke sebesar-besarnya. Mereka tidak memandang remeh pada satu sunnah pun. Mereka meneladani akhlak terpuji Baginda. Mereka tidak bersikap ghuluw (berlebihan) terhadap Baginda, tidak mengangkatnya lebih tinggi dari kedudukan yang sepatutnya, iaitu sebagai hamba dan utusan Allah.
Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 17 Januari 2014
From → Adab & Akhlak, Fiqh & Syariah