Lompat ke isi kandungan

KESESUAIAN HUDUD DALAM MASYARAKAT MAJMUK

Mei 18, 2014

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Spring-Blooming-Flower-Saya tidak ingin membahaskan apakah hudud itu wajib dilaksanakan atau tidak. Berkata sebahagian ulama dalam bidang bahasa, “Sangat tidak masuk akal dalam minda seseorang itu sekiranya dia memerlukan dalil bagi membuktikan waktu siang”. Sedangkan sekiranya kita berada di siang hari, itu sudah cukup tanpa kita membuktikan bahawa siang adalah siang.

Begitu juga apabila kita membicarakan tentang kewajipan hukum Allah SWT. Hukum perlaksanaannya telah jelas tanpa perlu dipanjangkan lagi perbahasannya. Apa yang perlu dibincangkan dari semasa ke semasa, dari forum ke forum, wacana ke wacana, seminar ke seminar adalah kesesuaian, suasana yang kondusif ke arah pelaksanaannya, dan kaedah perlaksanaannya.

Perlu dibincangkan

Antara aspek yang perlu dibincangkan; Pertama adalah penggubal dan pelaksana undang-undang. Mana-mana manusia, mana-mana Negara, bila-bila zaman dan sebagainya tidak terkecuali dari pelaksanaan dan tanggungjawab yang berat ini.

Allah SWT menyatakan di dalam banyak ayat di dalam Al-Quran bahawa barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan maka kafir, maka dia zalim, maka dia fasiq, sesuai dengan keadaan-keadaan dan rincian perbahasannya.

Kewajipan pelaksanaan hukum Allah bagi pelaksana hukuman, bagi yang menggubal undang-undang, bagi yang memerintah, mereka ini perlu berusaha ke arah itu. Ini adalah tanggungjawab pelaksana.

Kedua adalah berkaitan kaedah perlaksanaan. Kaedah pelaksanaan ini perlu dirincikan dan perlu diperhatikan. Kita tidak boleh pindahkan perbahasan ulama yang terkandung dalam kitab-kitab fiqh, secara literal dan masukkan ke dalam perlembagaan Negara kita tanpa meraikan suasana dan melihat kepada keadaan, sedangkan pelaksanaan hukum Allah itu sendiri sangat luas perbincangannya.

Sebagai contoh apabila kita mendengar firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 229, “Itulah hudud (batasan-batasan) Allah maka jangan kamu melampauinya.” Dan dalam ayat yang lain, “Jangan kamu mendekatinya (yakni melampauinya).” Sedangkan di dalam ayat tersebut Allah SWT membicarakan tentang hukum hakam yang berkaitan ibadat puasa. Ia juga salah satu daripada hukum Allah.

Kerana itu Syaikh Abdul Wahab Khallaf dalam bukunya Usul Al-Fiqh, apabila membicarakan tentang hukum-hukum Islam, beliau membahagikan kepada tiga bahagian; 1. Hukum hakam berkaitan akidah, 2. Hukum hakam berkaitan akhlak, 3. Hukum hakam yang berkaitan amali.

Hukum hakam yang berkaitan dengan amali inilah beliau pecahkan kepada dua; 1. Berkaitan muamalat, yang termasuk di dalamnya hukum qisas, ta’zir, hukum had (hudud). 2. Berkaitan ibadat, seperti solat, puasa, zakat, haji.

Hudud sebenarnya adalah salah satu cabang daripada cabang-cabang hukum Islam yang sangat luas. Maka dalam memastikan kaedah pelaksanaan, kita perlu memahami terlebih dahulu tentang apa itu hukum Islam. Dan apabila kita mengenali hukum-hukum Islam, kita perlu lihat pula yang mana daripadanya yang perlu kita beri perhatian dan keutamaan.

Tidak ada perselisihan di kalangan ulama-ulama salaf terdahulu bahawa perkara yang terpenting yang perlu ditegakkan di atas muka bumi ini adalah kalimah Tauhid, Lailahaillallah Muhammadurrasulullah.

Apabila Rasulullah SAW memerintahkan kepada Muaz bin Jabal RA pergi berdakwah ke Yaman, Baginda memerintahkan Muaz agar menyampaikan kepada manusia Lailahaillallah, Muhammadurrasulullah. Kemudian baru disusuli dengan solat dan ibadat-ibadat yang seterusnya. Maka di situ ada keutamaan yang perlu didahulukan.

Banteras amalan syirik

Begitu juga dalam surah Al-Mukminun, Allah SWT berfirman, “Telah Berjaya orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ di dalam solatnya” (Al-Mukminun: 1-2). Dinyatakan di sini bahawa orang yang berjaya adalah orang yang pertama sekali dan terlebih dahulu beriman kepada Allah SWT iaitu perkara akidah.

Hukum yang terbesar yang sebenarnya perlu diberikan keutamaan adalah pemurnian dan penyucian akidah, mengembalikan manusia kepada akidah yang sahih, membasmi syirik, khurafat, tahyul, percaya kepada sial, penyembahan selain Allah, meminta kepada kuasa ghaib selain Allah, percaya kepada bomoh, tukang tilik, melakukan adat-adat yang membawa kepada kesyirikan, penyebaran ajaran sesat dan seumpamanya, yang mana ini semua jelas berleluasa di dalam masyarakat kita pada hari ini. Ini dari sudut keutamaan.

Apabila hal-hal seperti ini diselesaikan, diberi perhatian dengan perhatian yang baik, maka akan wujud satu suasana yang kondusif untuk menegakkan syariat Allah yang seterusnya. Apabila masyarakat memahami syariat Islam seperti mana masyarakat di Madinah Al-Munawwarah, Nabi datang dan menyusun satu Piagam perundangan Islam yang pertama, di mana pada masa itu sudah ada suasana yang mana perlaksanaan undang-undang itu boleh dilakukan ke atas semua, tidak ada pengecualian sama ada dia kafir ataupun dia muslim.

Buktinya apabila seorang wanita, Jariyah dibunuh oleh seorang Yahudi dari kalangan Al-Ansar, Rasulullah SAW menangkap yahudi tersebut dan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas yahudi tersebut. Maka hukum Islam pada asalnya dilaksanakan ke atas semua orang tanpa pengecualian. Inilah kaedah pelaksanaan yang perlu dirincikan secara menyeluruh.

Ketiga adalah realiti dan keadaan masyarakat pada hari ini. Sejauh mana kita pada hari ini memberikan penjelasan kepada seluruh masyarakat tentang apa itu hukum had dan hikmah di sebaliknya. Kebanyakan orang apabila ditanyakan kepada mereka apa itu hudud, mereka menggambarkan hudud adalah potong tangan, rejam, qisas. Itu yang digambarkan, perlaksanaan hukum.

Itu adalah permasalahan. Kerana itu apabila di Pakistan dan Afghanistan wujud kelompok tertentu yang ingin menegakkan hukum had, wujud perpecahan yang tidak berkesudahan kerana apa yang difahami oleh masyarakat adalah hukum ini adalah hukum yang kejam dan keras seperti apa yang digambarkan oleh media-media Barat, maka akhirnya wujud ribuan masalah dan pembunuhan demi pembunuhan. Itu antara implikasi akibat ketidakfahaman masyarakat.

Kesesuaian hukum Allah di setiap zaman adalah ketetapan Allah. Tidak timbul persoalan Allah tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Ini satu perkataan yang mustahil yang datang daripada orang yang tidak beriman kepada Allah SWT. Mana mungkin Allah SWT mensyariatkan sesuatu yang tidak bersesuaian dengan persekitaran manusia. Maka hukum hudud ini sesuai dilaksanakan pada setiap zaman, cuma kaedah perlaksanaan dan persekitaran masyarakat itu yang perlu diubah dan disesuaikan agar hukum Allah itu dapat ditegakkan.

Ini yang dimaksudkan dengan suasana kondusif; sejauh mana kita telah memberikan kefahaman yang tepat kepada masyarakat, sejauh mana pemahaman mereka, bagaimana hendak mengawal arak, kedai-kedai arak dan pusat maksiat berleluasa, bagaimana hendak membanteras amalan-amalan syirik yang berleluasa di tengah-tengah masyarakat tanpa mereka sendiri menyedarinya dan tidak diberi penjelasan yang betul, bagaimana isu judi, isu orang-orang kafir, bagaimana hukum ini hendak dilaksanakan ke atas mereka.

Sudah semestinya hukum ini perlu dilaksanakan juga ke atas orang kafir dan setiap manusia sama ada di kalangan orang atasan atau orang bawahan. Hukum ini secara khusus dan syariat Islam secara umumnya perlu difahami terlebih dahulu. Hukuman hudud tidak dapat dilaksanakan selama mana ruang-ruang dan pintu-pintu kepada kemaksiatan belum ditutup, apatah lagi dalam keadaan Negara yang mempraktikkan demokrasi, di mana pilihan berada di tangan rakyat untuk memilih apa yang mereka mahu dan apa yang mereka tidak mahu. Apakah hukum Allah layak diberikan kepada manusia untuk memilih apa yang mereka mahu buat dan apa yang mereka tidak mahu?

Sebab itu kita perlu melihat kesesuaian dan merujuk pengalaman negara-negara luar yang telah melaksanakan hukum ini. Bahkan di tanah Arab, bukan secara keseluruhan hukuman ini dilaksanakan. Wallahu a’lam.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 16 Mei 2014

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: