YAKIN PADA KEKUATAN DOA
Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya
Hajjaj bin Yusuf Al-Saqafi seorang pemerintah yang banyak menangkap dan membunuh sahabat-sahabat Nabi dan juga di kalangan tabi’in pada zaman pemerintahannya.
Pernah suatu ketika seorang lelaki datang bertemu dengan Mutharrif bin Al-Syikkhin mengadu bahawa Hajjaj telah menangkap seorang pemuda. Berita ini dinukilkan di dalam Thabaqat Ibn Saad, juga kitab-kitab lain dengan sanad yang sahih, daripada Ghilan ibn Jarir dia berkata,
حبس الحجاج مورقا العجلي في السجن قال فلقيني مطرف فقال ما صنعتم في صاحبكم قال قلت محبوس قال تعال حتى ندعو قال فدعا مطرف وأمنا على دعائه فلما كان العشي خرج الحجاج فجلس وأذن للناس فدخلوا عليه فدخل أبو مورق فيمن دخل فدعا الحجاج حرسيا فقال اذهب بذاك الشيخ إلىالسجن فادفع إليه ابنه
“Hajjaj menangkap seorang lelaki bernama Muwarriq dan memasukkannya ke dalam penjara. Maka aku bertemu dengan Mutharrif, dia berkata: “Apa yang berlaku kepada saudara kamu? Aku berkata: Dipenjara. Mutharrif berkata: Marilah kita berdoa. Maka Mutharrif berdoa dan apabila telah selesai berdoa dan apabila masuk waktu malam, Hajjaj keluar dan dia duduk dan mengizinkan bagi manusia untuk datang melawatnya. Maka masuklah Abu Muwarriq (bapa Muwarriq) bersama-sama orang lain yang masuk. Hajjaj memanggil pengawal penjara dan berkata “Pergilah ke penjara bersama Syeikh ini (Abu Muwarriq) dan keluarkan anaknya.”
قال خالد : من غير أن يكلمه فيه أحد من الناس
“Berkata orang yang meriwayatkan kisah ini: Tanpa ada seorang pun yang bercakap kepadanya (Hajjaj) dari kalangan manusia.”
Bapa Muwarriq belum sempat bercakap apa-apa kepada Hajjaj. Bahkan tidak ada seorang manusia pun yang bercakap kepada Hajjaj supaya mengeluarkan Muwarriq.
Sebaliknya mereka bertemu dengan Mutharrif dan Mutharrif ibn Syikkhin (sahabat Nabi) berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Inilah kekuatan doa. Orang Islam kena percaya kepada kekuatan doa. Saya hairan apabila kita mengatakan “Kita kena banyak berdoa”, orang mengatakan “Takkan asyik berdoa sahaja”.
Memanglah doa itu nombor satu. Kemudian barulah disusuli dengan usaha setakat mana yang kita mampu. Dan usaha itu pula tidak boleh menyalahi syariat. Usaha yang bapa Muwarriq buat adalah pergi berjumpa dengan Hajjaj yang memenjarakan anaknya. Tetapi belum dia sempat meminta, disebabkan kekuatan doa, anaknya dibebaskan oleh Hajjaj.
Kalau kita merujuk kepada kisah kekuatan doa Uwais bin Amir Al-Qarni, sehingga Nabi memerintahkan para sahabat yang mampu untuk bertemu dengan Uwais dan meminta dia memohonkan pengampunan daripada Allah. Umar di antara sahabat yang berusaha mencarinya dan meminta supaya Uwais berdoa dan memohonkan pengampunan dari Allah untuknya.
Betapa Allah Subhanahu wa Ta’ala memaqbulkan doanya. Sekiranya dia mengangkat tangan berdoa kepada Allah nescaya Allah akan memaqbulkan doanya.
Umat Islam perlu yakin kepada kekuatan doa, dan untuk memastikan doa itu dimakbulkan, sudah semestinya ada adab dan etikanya; antaranya memakan makanan yang halal, mendapatkan sumber rezki yang halal, menjauhi hal yang mungkar, banyak melakukan kebaikan, berdoa dalam keadaan yang baik, berdoa mengikut sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, mengikut tatacara berdoa yang diajar oleh Allah dan Rasul. Jadi kita praktikkan semua ini dan yakin bahawa Allah akan memakbulkannya.
Sebab itu di dalam solat, kita dituntut untuk meminta supaya dijauhkan daripada fitnah; fitnah Dajjal, fitnah hidup dan fitnah kematian, azab kubur dan azab Neraka, dan kita memohon juga perlindungan dari dosa-dosa dan hutang piutang. Ini doa yang sering kita baca di penghujung setiap kali solat sebelum memberi salam.
Wallahu a’lam.