Lompat ke isi kandungan

Orang kafir berceramah orang Islam bertakbir

April 18, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Buck_Mountain_Grand_Teton_NP1Soalan: Apa hukum orang kafir berceramah, orang Islam bertakbir?

Jawapan:

Kita kena jelaskan, bila masa Nabi ajar sahabat bertakbir? Di Medan perang untuk membangkitkan semangat, itu pun sebahagian ulama mengatakan harus. Adapun di dalam hadis, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

والتكبير على كل شرف

“Dan bertakbir di atas setiap tempat yang tinggi.” (Sahih Ibn Khuzaimah)

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bertakbir ketika mana Baginda menaiki bukit “Allahu Akbar, Allahu Akbar”. Ketika mana turun bukit, Baginda bertasbih “Subhanallah, Subhanallah”.

Kita sekarang ini ceramah di mana, kita bukan ceramah di atas bukit pun. Itu satu perkara. Ada orang berkata kita sedang berjihad. Jihad apa kalau ceramah maki orang, ceramah suruh jatuhkan kerajaan Islam?

Ianya tidak kena langsung dengan prinsip dan konsep takbir di dalam Islam. Takbir adalah untuk memuliakan Allah Subhanahu wa Ta’ala, memuliakan agama Allah.

Tidak pernah ketika Nabi bercakap atau berkhutbah tiba-tiba sahabat bertakbir. Perkara seperti ini tidak ada di dalam sunnah. Bawakan riwayat atau hadis di mana ketika Nabi sedang bercakap tentang Islam tiba-tiba sahabat bangkit dan bertakbir. Tidak ada. Pergi cari kalau tidak percaya.

Adapun selawat ke atas Nabi, itu ada, iaitu ketika disebut nama Nabi mereka mengucapkan selawat dan salam ke atas Baginda.

Jadi kita mencontohi siapa?

Kedua, masalahnya orang-orang yang tidak menerima Islam, di mana mereka bukan bercakap atas kapasiti seorang Muslim, mereka bukan hendak terima Islam, mereka bukan hendak ikut Islam, kenapa kita bagi semangat dan sokongan kepadanya dengan kata-kata mulia “Takbir”? La haula wala quwwata illa billah.

Soal mereka hendak sebut perkataan takbir atau tasbih itu terpulang kepada mereka. Itu bab lain. Yang saya cerita ini tentang kita yang mendengar perkataan mereka. Kerana apa kita bertakbir?

Kalau ada ulama yang mengharuskan takbir sekali pun, ianya adalah bertujuan menzahirkan syiar Islam. Tetapi apa syiar Islam yang orang kafir itu zahirkan? Dia sendiri tidak menerima Islam.

Bertakwalah kepada Allah. Kita jangan terlalu berpolitik sehingga perkara ini pun kita jadikan mainan. Ini bukan mainan untuk seronok-seronok. Ini agama yang tidak boleh dipermainkan dan tidak boleh dijual beli.

Apabila heboh orang bukan Islam membaca ayat Al-Quran, saya tidak ada masalah. Harus bagi orang bukan Islam membaca ayat Al-Quran. Tetapi timbul masalah apabila mereka memilih untuk membaca Al-Quran itu di atas pentas politik, ceramah politik, cerita politik, membaca ayat Al-Quran untuk tujuan kepentingan politik mereka.

Yang lebih menyedihkan, ada guru-guru Al-Quran yang semasa mengajar di masjid dan surau punyalah garang apabila murid menyebut makhraj tidak betul, tetapi apabila orang kafir membaca dengan makhraj dan sebutan tunggang langgang sehingga tidak difahami apa yang dibacanya, mereka boleh menjerit “Takbir!”.

Sepatutnya mana yang tidak betul itu diperbetulkanlah, kalau mereka memang berniat membacanya dengan betul. Ini menunjukkan mereka bukan betul-betul hendak baca, mereka sekadar hendak menarik sokongan dan perhatian orang Islam. Kita pula yang melebih-lebih.

Kemudian mereka menterjemah Al-Quran dengan sesuka hati mereka. Betulkah terjemahan mereka? Adakah kita menyemaknya?

Selepas terjemah, mereka tafsirkan pula ayat Al-Quran dan menjelaskan maksud ayat Al-Quran kepada kita dan kita seronok mendengar. Adakah benar tafsiran mereka, adakah cara mereka tafsirkan Al-Quran itu betul?

Sedangkan di dalam Islam, kita ada prinsip dan kaedah tafsir. Bukan boleh tafsir Al-Quran sesuka hati. Haram. Al-Quran mesti ditafsir mengikut kaedah-kaedah tafsir. Yang tafsir ikut akal sendiri itu yang boleh ada yang sampai mengaku menjadi Rasul Melayu. Dia membaca surah Yasin; “innaka-laminal-Mursalin” (engkau Rasul yang diutuskan) lalu terus dia mengaku sebagai Rasul. Itu tafsir mengarut.

Begitu juga gerakan zikir rock di Kuala Lumpur. Mereka berzikir campur lelaki dan perempuan, selesai zikir tekong mereka tunjuk dan mengatakan “Lelaki ini untuk perempuan ini. Lelaki itu untuk perempuan itu.” Mereka menggunakan ayat Al-Quran,

نِسَآؤُكُمْ حَرْثُ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ

“Wanita-wanita kamu semua adalah ladang untuk kamu semua bercucuk tanam, maka bercucuk tanamlah arah mana yang kamu kehendaki.” (Surah Al-Baqarah, 2: 223)

Mereka menggunakan ayat tersebut untuk mengharuskan buat seks dengan mana-mana wanita. Itu akibat mentafsir Al-Quran ikut suka.

Apatah lagi orang bukan Islam yang mentafsir dan memperjelas ayat Al-Quran kepada kita, adakah betul tafsiran mereka sehingga kita bertakbir dengan semangat? Jangan.

Saya bukan maksudkan apa sahaja orang bukan Islam cakap kita kena tolak, tetapi fikiran kita biarlah waras, letakkan agama melebihi segala-galanya. Kalau dia cakap di dalam bab keduniaan contohnya perlu adil dan amanah, itu tidak mengapa. Tetapi kalau dia mengulas bab agama, mengulas ayat Al-Quran sedangkan dia tidak beriman dan dia sendiri tidak terima Al-Quran, mana mungkin kita beri ruang kepadanya mengulas sesuatu yang dia sendiri tidak beriman dan dia sendiri tidak terima.

Kedatangan orang yang seperti ini sebenarnya membawa kepada perpecahan, bukan kepada kebaikan.

Wallahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=kUlCMLkTfB4

One Comment
  1. anom permalink

    laungan “hidup melayu” pun tiada juga masa zaman nabi, bukan ke ini juga bidaah?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: