Skip to content

Guna media sosial sesuai syariat

Mei 31, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

siaran akhbar 8 Januari 2012 

Boleh dikatakan hampir setiap jam kebanyakan daripada kita semua menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk berhubungan dengan rakan-rakan atau kenalan.

Tahukah anda, sudah hampir setahun peristiwa Medan Tahrir di Mesir, di mana kita melihat penggunaan Facebook telah mengundang kebangkitan rakyat untuk berkumpul berdemonstrasi bagi menjatuhkan Presiden Mesir, Husni Mubarak.

Ini merupakan satu kesan negatif yang diletakkan pada media sosial. Begitu juga sekarang ini ramai penuntut universiti mahupun majikan-majikan dan usahawan menjadikan media sosial sebagai tempat untuk meraih ilmu, berkongsi maklumat, bahkan meraih pendapatan.

Bukankah ini satu perkara yang positif?

Media sosial dari kaca mata Islam tidak lain sebagai salah satu medium untuk penyebaran dakwah dan mesej-mesej Islam kepada semua golongan masyarakat.

ALLAH SWT telah mengisyaratkan mengenai penyebaran informasi dalam al-Quran maksudnya,

“Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka terus menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya daripada mereka (Rasul dan Ulil Amri). Jika bukan kerana kurnia dan rahmat ALLAH kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu).” (surah an-Nisa’, ayat 83)

Islam sama sekali tidak menyalahkan dan menolak teknologi media sosial, Islam cuma mengawal penganutnya untuk mengambil langkah bijak dan memaksimumkannya bagi mendapat manfaat.

Perhatikan fenomena hari ini, kebanyakan generasi muda menjadikan Facebook contohnya sebagai tempat meluahkan perasaan dan berbicara perkara-perkara yang membuang masa. Umpatan dan kejian merupakan tatapan harian mungkin sebahagian daripada kita apabila membuka Facebook. Inilah realiti dan paling parah adalah mesej-mesej untuk memberontak dan provokasi juga disalurkan melalui Facebook.

Sewajarnya seorang Muslim melihat kepada apa yang diperkatakannya ketika menulis dan membuat status di Facebook kerana sabda Baginda SAW,

“Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau dia berdiam diri.” (Riwayat Ahmad).

Isi kandungan mesej yang disampaikan akan menjadi tatapan sesiapa sahaja yang menjadi rakan kita dan ini bakal memberikan pengaruh kepada minda dan tindakan mereka.

Selain cercaan, umpatan dan tindakan negatif, media sosial juga digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan keaiban orang. Ingatlah bahawa Nabi SAW telah bersabda bermaksud,

“Barang siapa yang menutup aib seseorang Muslim maka ALLAH akan tutup keaibannya di Akhirat kelak”. (Riwayat Muslim)

Setiap manusia mempunyai hak peribadi yang tidak perlu untuk dipamerkan kepada khalayak ramai.

Apabila hak peribadinya dibicarakan atau disiarkan di khalayak, lalu masyarakat saling berkata dan berbicara mengenainya, maka ia menimbulkan pula dosa lain iaitu mengumpat. Hukuman bagi mereka ini adalah seperti firman ALLAH,

“…Dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.?” (al-Hujrat ayat 12)

Media sosial juga bukannya tempat meluahkan perasaan sedih dan kecewa serta menyiarkan kepada orang masalah yang sedang kita hadapi. Meminta nasihat kepada teman dan kenalan itu yang sepatutnya.

Nasihat saya pertama sekali adalah menggunakan media sosial dengan ikhlas bukan tujuan yang lain. Kedua, menjauhi pantang larang diutarakan tadi. Ketiga sebagaimana sabda Nabi SAW,

“Bertakwalah kepada ALLAH di mana sahaja kamu berada, ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan yang baik nescaya ia akan menghapuskannya dan bercampurlah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (riwayat Abu Daud)

Bertakwa dengan menjaga adab, pantang larang, pandangan mata, perkataan dan tulisan.

Lakukanlah kebaikan dengan sebanyak-banyaknya supaya ia dapat menghapuskan keburukan yang pernah kita lakukan. Akhlak yang baik dipraktikkan dengan berkawan dan berteman dalam keadaan menjaga kehormatan hak orang lain, dan tidak menyakiti mereka.

Manfaatkan media sosial dengan adab dan etika seperti ini. Wallahualam.

From → Adab & Akhlak

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: