Skip to content

Sekolah Ramadhan (2)

Julai 30, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Politik syariat, politik haram

Kerana pangkat manusia bermusuhan dan kerana wang manusia sanggup berbunuhan. Bahkan kerana wang manusia menghalalkan apa yang Allah haramkan. Berani sungguh manusia.

Takutlah kepada firman Allah: “Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu. Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam. Tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewahan. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar.” (al-Waqi’ah, ayat 42-46).

Sayangnya, nafsu terus diutamakan.

Islam tidak memisahkan antara politik dengan agama. Cuma Islam membezakan antara politik yang disyariatkan dan politik yang diharamkan. Bahkan Islam meletakkan garis panduan dalam pemerintahan agar hubungan antara pemimpin dan rakyat terjalin, dan hubungan makhluk dengan Allah terpateri.

Cuma, suasana politik hari ini diwarnai dengan pelbagai noda dan dosa. Fitnah-memfitnah, umpat-mengumpat, rasuah, politik wang, gila kuasa, sombong, angkuh, hilang amanah menjadi darah daging sebahagian ahli politik kini.

Mengapa berlaku sedemikian? Jawapan mudah, kerana kelemahan akidah. Mana mungkin orang yang beriman kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benarnya melakukan amalan-amalan keji di atas. Ini kerana orang yang beriman, mengenali Allah dengan sebenarnya.

Apabila Allah dikenali, kekuasaannya digeruni, kalamnya diimani, maka peribadi seseorang dapat dibentuk dan dibendung. Jika setiap individu dapat dibentuk, sudah semestinya negara dapat ditadbir dengan baik dan cemerlang di samping kekuatan rohani dan jasmani serta iringan keredhaan dari Allah.

Oleh itu, manusia mesti sanggup berubah untuk mengubah. Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (al-Ra’du, ayat 11)

Pemurnian akidah

Perkara yang mampu menjana perubahan terbesar dalam masyarakat adalah pemurnian akidah dari sebarang unsur syirik, khurafat, bidaah dan tahyul. Permurnian akidah bukan sahaja mampu mengubah kehidupan manusia bahkan menjadi penentu kepada penempatan manusia samada di syurga atau neraka.

Sabda Nabi: “Setelah penghuni syurga masuk ke syurga dan penghuni neraka masuk ke neraka, Allah berfirman: “Keluarkan dari neraka orang-orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi iman.” Maka mereka pun dikeluarkan dari neraka.” (hadis riwayat al-Bukhari).

Subhanallah, hanya iman seberat biji sawi manusia beroleh kejayaan kekal abadi. Bayangkan jika kesedaran tentang pentingnya iman bermula dari hari ini, di saat ini.

Dunia pasti berubah 

Firman Allah maksudnya: “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan yang soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa.

“Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasiq.” (al-Nuur, ayat 55)

Mungkin ada yang berkata, apa kaitan politik, ekonomi, akhlak dengan pemurnian aqidah? Saya katakan, ilmu akidah yang paling penting adalah tauhid, ilmu yang membahaskan tentang etika dalam mengesakan Allah.

Sekiranya manusia gagal dalam memahami etika-etika ini, sudah tentu dingin hubungannya dengan Allah. Bahkan rasuah, kezaliman, caci-maki, riba, buang anak dan sepak terajang politik hari ini berlaku kerana manusia kurang mengenal serta tidak beretika dalam mengesakan Allah.

Pelaris, berkat perniagaan

Sebahagian kedai makan pada hari ini contohnya masih lagi bergantung kepada pelaris-pelaris untuk melariskan jualannya.

Begitu juga terdapat taukeh kedai makan tertentu yang sanggup menziarahi “keramat” (tanah perkuburan) untuk memohon berkat dan kejayaan perniagaannya. Sedangkan Allah memerintahkan supaya kita memurnikan pergantungan hanya kepada-Nya.

Firman Allah, maksudnya: “Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.” (surah al-Fatihah, ayat 5)

Surah yang dibaca sehari semalam 17 kali dalam solat, tetapi sayang manusia masih tidak beretika dalam mengesakan Allah. Mengapa para sahabat Rasulull sanggup mati kerana Allah? Jawabnya, kerana mereka mengenal Allah, bergantung sepenuhnya kepada Allah dan benar-benar yakin dengan janji-janji Allah.

Kisah ‘Umair bin al-Humam yang mendengar sabda Nabi Muhammad:

“Bangunlah kalian menuju syurga Allah yang luasnya seperti langit dan bumi.”

Terdengar ucapan tersebut, Umair bertanya: “Benarkah, keluasannya seperti langit dan bumi?”

Nabi bersabda: “Ya.”

Beliau lantas menyebut: “Bakhin bakhin (sebutan yang menggambarkan rasa pengagungan).”

Nabi bertanya: Apakah yang menyebabkan engkau berkata sedemikian?

‘Umair menjawab: “Kerana aku ingin menjadi ahlinya.” (hadis riwayat Muslim)

Lihatlah keyakinan para sahabat Nabi terhadap janji-janji Allah. Bagi orang yang beriman walau syurga tidak dilihat, keyakinan di hati tetap terpahat.

Oleh itu, tepuk dada dan tanya kepada diri sendiri: “Murnikah akidahku?”

From → Adab & Akhlak

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: