Lompat ke isi kandungan

Kaitan antara Kalimah Allah & Nabi sebagai pembawa rahmat

Januari 26, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

576176_412684572101096_637172977_nSoalan: Apabila disebut kelahiran Nabi membawa rahmat, minta ustaz kupas dan kaitkannya dengan perebutan penggunaan kalimah Allah di Malaysia.

Jawapan:

Nabi meraikan tahap pemikiran dan pemahaman agama masyarakat Arab

Rasulullah SAW dilahirkan dan diutuskan kepada umat manusia sebagai pembawa rahmat. Apabila dikatakan pembawa rahmat, ia membawa keamanan, perpaduan dan segala bentuk kebaikan. Ke mana sahaja tempat yang sampai dakwah Nabi SAW, sekiranya manusia benar-benar mempraktikkan petunjuk Nabi SAW, sudah semestinya umat itu akan mencapai keamanan. Sudah semestinya akan wujud di situ perpaduan dan kasih sayang. Namun pada hari ini apabila wujud perebutan kalimah Allah, kita perlu kembali kepada petunjuk Nabi SAW.

Saya ingin membawa satu contoh mudah sebagai muqaddimah. Ka’bah dibina oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim agar membina Ka’bah. Kemudian pada zaman Arab Jahiliyyah ketika Nabi SAW sudah ada, Baitullahil Haram runtuh kerana banjir besar yang berlaku beberapa kali.

Orang Arab Jahiliyah membina semula Ka’bah setelah Ka’bah roboh. Tetapi mereka membina semula Ka’bah bukan di atas struktur binaan Nabi Ibrahim, dan binaan yang baru tidak sama seperti binaan Ibrahim. Mereka membuat pintu Ka’bah lebih tinggi daripada permukaan tanah dan binaan itu juga lebih tinggi dari yang asal.

Nabi SAW melihat keadaan tersebut. Setelah pembukaan Kota Makkah, setelah Islam berkuasa, para sahabat bertanya kepada Nabi, tidakkah Nabi berkeinginan untuk meruntuhkan Ka’bah dan membina semula di atas asas binaan Nabi Ibrahim? Seperti yang tercatat di dalam hadis, Nabi SAW bersabda,

يا عائشة لولا أن قومك حديث عهد بجاهلية لأمرت بالبيت فهدم فأدخلت فيه ما أخرج منه وألزقته بالأرض

“Wahai ‘Aisyah, seandainya bukan kerana kaummu baru sahaja lepas dari Jahiliyyah, nescaya aku akan perintahkan untuk meruntuhkan Ka’bah, lalu aku masukkan ke dalamnya apa yang pernah dikeluarkan daripadanya, dan nescaya aku akan tempelkan (pintunya) ke tanah…” (riwayat Al-Bukhari no. 1586 dan Muslim no. 1333)

Juga disebut di dalam riwayat yang lain,

عَنْ عَائِشَةَ – رضى الله عنها أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم  قَالَ لَهَا « أَلَمْ تَرَىْ أَنَّ قَوْمَكِ لَمَّا بَنَوُا الْكَعْبَةَ اقْتَصَرُوا عَنْ قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ » . فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ تَرُدُّهَا عَلَى قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ . قَالَ « لَوْلاَ حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

Dari Aisyah bahwasannya Rosulullah berkata kepadanya : “Tidakkah engkau mengetahui bahawa kaummu (Quraisy) tatkala membina Ka’bah mereka mengurangi dari asas yang dibangun oleh Ibrahim ? Maka aku berkata : “Ya Rasulullah, kenapa tidak engkau kembalikan kepada asas binaan Ibrohim ? Rasulullah menjawab : “Seandainya bukan kerana kaummu masih baru keluar dari kekufuran nescaya akan aku lakukan.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Tetapi Nabi tidak melakukannya sehinggalah baginda wafat. Abu Bakar juga tidak melakukannya, begitu juga Umar, Utsman, Ali, Mu’awiyah dan khalifah yang seterusnya. Bahkan tidak ada ulama yang memfatwakan agar meruntuhkan Ka’bah dan membina semula di atas binaan Nabi Ibrahim.

Apa yang saya ingin kaitkan dengan isu kalimah Allah adalah kita perlu meraikan budaya dan tahap kefahaman masyarakat kita seperti mana Nabi SAW meraikan budaya dan tahap kefahaman masyarakat Arab, walaupun Ka’bah itu sepatutnya dibina di atas binaan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam.

Kita bukan bercakap tentang hukum asal tentang penggunaan kalimah tersebut seperti mana yang dibicarakan oleh para ulama Islam di Timur Tengah, kita bukan bercakap tentang budaya Arab, tetapi kita bercakap tentang budaya masyarakat di dalam negara kita pada hari ini. Kita perlu bercakap mengikut konteks dan realiti semasa.

Maka tidak sewajarnya berlaku perebutan ini, dan di dalam negara ini, umat Islam yang majoritinya berbangsa Melayu mempunyai hak di dalam isu ini agar ianya tidak mengelirukan pemahaman dan pemikiran masyarakat dan kembali juga kepada tahap penguasaan agama masyarakat kita di Malaysia. Wallaahua’lam.

Teks disediakan dari petikan rakaman berikut:

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: